Kota Hama atau Hamah dalam bahasa Arabnya sudah ada sejak tahun 1100 sebelum Masihi. Dalam sejarah, kota ini pernah menjadi ibu kota Kerajaan Kanaan dan setelah Perang Dunia pertama, kota Hama berada di bawah mandat pemerintah Perancis yang menguasai wilayah Syria ketika itu. Sebuah bandar di tebing Sungai Orontes di barat-tengah Syria, 213 kilometer di utara Damsyik dan 46 kilometer dari utara Homs.

Dengan penduduk kira-kira 700,000 – 850,000 orang. Hama, merupakan bandar keempat terbesar di Syria selepas Aleppo, Damsyik dan Homs. Kota Hama terkenal dengan binaan 17 norias (alat untuk menaikkan air dari anak sungai) yang digunakan untuk menyiram tanaman seawal 1100 SM.

Hama menjadi kota yang dihuni oleh majoriti kaum Muslimin Ahlu Sunnah wal Jamaah serta terkenal sebagai pusat perkumpulan Jamaah Ikhwanul Muslimin Syria musuh bagi Parti Ba’ath (pemerintah) ketika itu.

[ Konflik Ikhwan dan Parti Ba’ath ]

Ikhwan Muslimin yang merupakan sebuah pertubuhan keagamaan berasal dari Mesir yang diasaskan oleh Imam As-Syahid Hassan al-Banna pada 1928 telah mula bertapak di Syria pada tahun 1940-an. Ikhwan Syria ketika itu dipimpin oleh Syeikh Dr. Mustafa Siba’e yang menjadi ketua pertama bagi pergerakan tersebut. Pergerakan Ikhwan Syria ketika itu merupakan sebuah pergerakan dakwah dan tarbiyyah dan bukan satu pergerakan politik.

Menjelang tahun 1970-an, Ikhwan Syria mula mendapat nafas baharu di bawah majlis syura yang dipimpin secara kolektif oleh Syeikh Adnan Saaduddin, Syeikh Said Hawwa, Syeikh Ali Sadruddin dan beberapa lagi tokoh terkemuka.

Pada ketika itu, Ikhwan Syria mula lantang mengkritik kepincangan serta kepimpinan parti Ba’ath. Ketika inilah berlaku pertembungan ideologi yang ketara antara pertubuhan Ikhwan Muslimin dengan para pendokong dan penyokong Parti Ba’ath yang ketika itu dpimpin oleh Hafiz al-Assad ( ayah kepada Bashar al-Assad ).

Pada Jun 1979, Hafiz al-Assad telah menuduh Pertubuhan Ikhwan Muslimin merekrut beberapa orang tokoh serta ahlinya melakukan pembunuhan yang telah mengorbankan beberapa mangsa di Sekolah Artileri yang bertempat di utara Aleppo.

Ikhwan Syria telah beberapa kali menafikan keterlibatan mereka dalam serangan tersebut dan bebrapa tuduhan yang lain, namun Regim Hafiz Al-Assad terus membubarkan organisasi Ikhwan Muslimin serta menangakap tokoh-tokoh dan aktivis Ikhwan Syria ketika itu.

Sejurus selepas kejadian tersebut , Regim Hafiz al-Assad terus mewartakan undang-undang No. 49 tahun 1980 iaitu mengharamkan pergerakan Ikhwan Muslimin serta mewartakan hukuman mati bagi sesiapa sahaja yang didapati terlibat dengan pergerakan tersebut.

[ Detik-Detik Tragedi : 2 Februari 1982 ]

Pembunuhan serta pembantaian ini dikenali dengan “majzarah al- Hama 1982” atau “Hama massacre 1982” yang merupakan satu operasi ketenteraan terbesar yang dikerahkan oleh Regim Hafiz al-Assad dibantu oleh adik lelakinya Rifaat al-Assad.

Operasi pembunuhan tersebut telah melibatkan beberapa agensi ketenteraan Regim ketika itu seperti brigade pertahanan, pasukan kereta kebal, pasukan udara serta pasukan-pasukan khas yang lain yang dipimpin oleh Rifaat al-Assad yang baru dilantik hanya beberapa bulan menjawat pemegang kuasa di kawasan tengah dan utara Syria oleh abangnya Hafiz al-Assad.

Operasi kejam tersebut bermula pada 2 Februari 1982 sehingga 28 Feb 1982 (27 Hari 26 malam).Terdapat laporan mengatakan bahawa pihak tentera Syria menggunakan Hidrogen Cyanide untuk membunuh penduduk awam.

Menurut Amnesty International, tentera Syria bermula dengan mengebom bandar Hama dari udara untuk memudahkan laluan pasukan tentera dari darat dan kereta kebal. Dikatakan selama 4 hari kereta kebal memusnahkan bangunan dan binaan di kota Hama.

Regim Hafiz al-Assad memberi kuasa sepenuhnya kepada tentera ketika itu untuk melakukan apa sahaja bentuk penbunuhan bagi menghancurkan kelompok pembangkang (Ikhwan Syria) serta penyokong mereka. Kanak-kanak dan wanita dibunuh termasuk janin dalam perut ibu mengandung dibelah perutnya dan tentera yang melakukan hal tersebut berkata : “ Anak-anak ini adalah anak syaitan, jika mereka membesar, mereka akan melawan kita”.

Antara syiar dan slogan yang diungkapkan oleh tentera Regim ketika itu adalah “ Lailaaha Illa Watan, Wa laa Rasul Illa Ba’ath” (Tiada tuhan kecuali tanah air, tiada Rasul kecuali parti Ba’ath).

[ Kesan-Kesan Kemusnahan ]

Hama diserang selama 27 hari 26 malam berturut-turut, digempur dan dilanyak oleh lebih daripada 55 ribu tentera Regim yang disertai dengan kereta kebal, jet pejuang dan peluru berpandu telah mengorbankan lebih daripada 40 ribu nyawa. Dikatakan lebih daripada 100 ribu penduduk ditangkap serta 100 ribu lagi menjadi pelarian didalam dan luar Syria. Lebih daripada 15 ribu orang dikatakan hilang tanpa sebarang kesan.

80 peratus kota Hama musnah. Sebanyak 5 buah penempatan disana musnah secara keseluruhannya, 63 buah masjid dan 4 buah gereja musnah. Sebanyak 40 buah pusat kesihatan, hospital dan klinik serta 600 buah premis perniagaan dan kedai musnah. Dianggarkan sebanyak 10 buah peluru berpandu dilepaskan pada setiap minit pada kota Hama.