DATO’ SERI IR. DR. KAMAL NASHARUDDIN
BIN MUSTAPHA
PEng, FIEM, FASc, FAPM
Pengerusi, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Laporan Bantuan Kecemasan Gaza (2023-2026) ini berjaya diterbitkan. Laporan ini disediakan bagi memenuhi amanah MyCARE kepada para penderma, rakan strategik serta masyarakat umum yang telah berdiri teguh bersama dalam menghadapi krisis kemanusiaan paling getir dalam sejarah moden Palestin.
Sejak Oktober 2023, kita telah menyaksikan penderitaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Rakyat Gaza – terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas – berhadapan dengan serangan berterusan, kemusnahan harta benda, pengusiran paksa serta sekatan bantuan kemanusiaan. Penderitaan ini masih berterusan walaupun gencatan senjata telah pun dipersetujui pada Oktober 2025.
Dalam suasana penuh keterbatasan dan risiko ini, MyCARE komited menyampaikan bantuan kemanusiaan yang diperlukan rakyat Palestin. Bantuan ini tidak sekadar memenuhi keperluan asas bahkan merupakan talian hayat buat mereka.
Sepanjang tiga tahun ini, MyCARE telah berjaya menyalurkan bantuan kecemasan merangkumi sektor makanan, perubatan, air bersih, penempatan sementara, pendidikan, advokasi serta pemulihan awal kepada keluarga yang terjejas. Secara keseluruhan, lebih 1 juta penerima manfaat telah berjaya disantuni dengan nilai sumbangan mencecah RM40 juta.
Sebagai Pengerusi, saya menyaksikan sendiri bagaimana setiap sumbangan yang diterima – tidak kira besar atau kecil – telah diterjemahkan kepada harapan buat rakyat Gaza yang kehilangan segalanya. Di sebalik angka dan data yang dikongsikan, terkandung pelbagai kisah di sebaliknya – tentang keberanian, ketabahan luar biasa serta harapan yang tak pernah putus. Laporan ini bukan sekadar catatan pencapaian, tetapi manifestasi iltizam kemanusiaan yang telah kita pikul bersama.
Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang – baik individu, institusi, mahu pun korporat; rakan pelaksana tempatan dan antarabangsa; para sukarelawan serta seluruh warga kerja MyCARE. Berkat sumbangan semua, MyCARE dapat terus berkhidmat sehingga hari ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan khas kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim atas sokongan yang diberikan kepada misi flotila yang MyCARE sertai serta bantuan untuk membebaskan semua rakyat Malaysia yang telah ditahan secara haram di perairan antarabangsa oleh rejim Zionis. Penghargaan juga kepada Wisma Putra atas kepercayaan yang diberikan kepada MyCARE untuk mengelola penyaluran dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Akhir sekali saya ingin mengajak semua untuk mendoakan staf MyCARE serta ahli keluarga mereka yang telah gugur akibat genosid di Gaza. Pengorbanan mereka adalah bukti bahawa kerja kemanusiaan kadangkala menuntut harga yang mahal. Semoga ruh mereka ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang yang soleh.
Semoga laporan ini dapat memberi keyakinan kepada para penyumbang bahawa setiap amanah telah kami uruskan dengan telus dan bertanggungjawab. Semoga sumbangan ini menjadi asbab kepada keamanan, keadilan dan kemerdekaan rakyat Palestin.
Dari sungai ke segara,
Palestin pasti merdeka!

PEng, FIEM, FASc, FAPM
Pengerusi, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
Saya mewakili seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, kakitangan dan sukarelawan MyCARE ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang atas kepercayaan yang diberikan untuk kami menyalurkan bantuan anda kepada rakyat Palestin di Gaza. Tanpa kepercayaan anda mustahil MyCARE dapat lakukan semua ini.
Penghargaan khas juga kami tujukan kepada Dr. Ziad Shehada, Pengurus MyCARE Gaza dan pasukannya atas kesediaan untuk meneruskan operasi bantuan di tengah-tengah ketidaktentuan dan perang yang berlaku di Gaza. Mereka adalah wira sebenar yang memungkinkan semua ini.
MyCARE komited untuk terus memainkan peranan dalam usaha membantu penduduk Gaza dan menjadi suara Malaysia di peringkat antarabangsa untuk membela nasib rakyat Palestin yang tertindas.
Apabila segala-galanya telah dirampas daripada penduduk Gaza, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan harapan tidak turut dirampas daripada mereka. Gaza mungkin telah hancur. Tapi selagi ada tangan yang membantu dan hati yang mengambil berat, harapan akan terus hidup. Setiap usaha untuk membina semula Gaza membina lebih daripada sebuah struktur. Ia memulihkan harapan, maruah dan kehidupan.
Untuk laporan beraudit, layari https://www.mycare.org.my/laporan-audit