Hari Ini Dalam Sejarah | 9 April 1948 | Tragedi Pembunuhan di Deir Yassin

Deir Yassin merupakan sebuah kampung yang indah, terletak di kawasan tebing setinggi 2600 kaki berhampiran pintu masuk Baitul Makdis.
Deir Yassin telah menjadi saksi kezaliman yang berlaku di sepanjang episod penghapusan di tanah suci Palestin. Sebahagian kecil kekejaman yang berlaku dalam usaha Zionis untuk menakluk bumi Palestin dilaksanakan ke atas penduduk asal Deir Yassin.
Operasi demi operasi dimulakan seawal 29 November 1947 sebaik sahaja Resolusi 181 telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB/UN). Resolusi itu telah membahagikan Palestin kepada pemilikan buat Arab dan pemilikan buat Yahudi.
Kemuncak kepada operasi itu adalah operasi yang dimulakan pada bulan Mac 1948 oleh Kumpulan pengganas Haganah. Ia kemudiannya disertai oleh kumpulan-kumpulan pengganas Zionis yang lain pula di serata Palestin, dari Bukit Golan ke Lembah Jordan. 400 kampung telah dibersihkan dan 750,000 rakyat Palestin telah menjadi pelarian angkara kumpulan-kumpulan pengganas ini.
Apa yang berlaku di Deir Yassin?
245 orang daripada 600 orang penduduknya telah dibunuh dengan tragis di kampung mereka sendiri. Mereka terdiri daripada lelaki, perempuan, orang tua dan kanak-kanak. Operasi ini telah dijayakan oleh 2 kumpulan pengganas Zionis iaitu Irgun dan Lehi; seramai 120 orang.
Sehari sebelum kejadian itu, kumpulan-kumpulan ini berkumpul (40 anggota Lehi di Ets Hayim dan 80 anggota Irgun di Givat Haul) dan seawal pagi 9 April, serangan dibuat dengan begitu pantas dan serangan tamat pada jam 11 pagi.
Takut sekiranya ada sebarang serang balas dari penduduk kampung, mereka telah melontarkan bom-bom tangan ke setiap rumah. Dari rumah ke rumah.
Mereka yang terselamat pula dibawa keluar dengan trak dan dipercayai dibunuh di Baitul Makdis.
Kata Harry Levin, pemerhati Haganah:
“3 trak dipandu perlahan di King George V Avenue, di dalamnya ada lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Tangan mereka diletakkan di atas kepala dan dikawal oleh tentera Yahudi yang lengkap bersenjata”
Dalam media-media barat, kejadian Deir Yassin cuba disembunyikan. Angka-angka kematian yang berlaku diseleweng dan mereka cuba memberikan justifikasi di sebalik apa yang berlaku. Artikel-artikel hanya menyebut bagaimana kumpulan-kumpulan Yahudi ini menyerang Deir Yassin kerana mereka inginkan hak mereka melalui Resolusi PBB 181 yang kemudiaannya mendapat tentangan penduduk kampung. Hakikatnya peristiwa ini telah dirancang, sejajar dengan Operasi Nachshon yang telah dilancarkan pada 6 April 1948, 3 hari sebelum peristiwa ini.
Komander David Shatiel telah menulis kepada ketua kumpulan Lehi dan Irgun:
“I learn that you plan an attack on Deir Yassin. I wish to point out that the capture of Deir Yassin and its holding are one stage in our general plan. I have no objection to your carrying out the operation provided you are able to hold the village. If you are unable to do so I warn you against blowing up the village which will result in its inhabitants abandoning it and its ruins and deserted houses being occupied by foreign forces… Furthermore, if foreign forces took over, this would upset our general plan for establishing an airfield”
Peristiwa ini telah mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati terhadap perancangan musuh yang tidak pernah senang dengan adanya perjuangan ini dan kezaliman mereka adalah di luar bayangan manusia biasa. Bagaimana mungkin seorang manusia yang waras mampu membunuh penduduk kampung yang tidak bersenjata? Di manakah naluri kemanusiaan mereka?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

Program Baju Raya Untuk Dia 2024

Kian Berlabuh Tirai Ramadan, Lambaian Syawal Kian Dinanti, Luhur Hati Ikhlas Kemaafan, Semoga Kesalahan Diri Dimaafi.   Berbaju Baru Terasa Ceria, Cantik Dipakai Di Hari