Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.
Seluruh warga Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) merakamkan ucapan takziah atas pemergian YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang tokoh wanita berjiwa besar yang amat dekat di hati rakyat Malaysia dan sentiasa teguh memperjuangkan nilai keamanan serta kemanusiaan sejagat.
Keperibadian dan bakti beliau meninggalkan jejak amat bermakna di bumi Gaza, Palestin.
Nama beliau telah diabadikan melalui Dr. Siti Hasmah and Enaya Physiotherapy and Rehabilitation Centre di Khan Younis pada tahun 2022.
Pusat rehabilitasi ini hasil inisiatif Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dengan kerjasama Charitable Association for Palestinian Relief (CAPR), MyCARE, Econsave dan Muslim Care.
Pusat ini dilengkapi kemudahan bilik rawatan, ruang diagnostik, jabatan hidroterapi, dan bilik pentadbiran bagi merawat mangsa-mangsa serta komuniti tempatan.
Walaupun pusat rehabilitasi ini akhirnya musnah diserang rejim Zionis, roh perjuangan dan nama yang dibawa oleh pusat tersebut kekal hidup.
Usaha yang digerakkan atas nama Tun Dr. Siti Hasmah pernah menjadi saksi bantuan rawatan serta sinar harapan buat ratusan pesakit yang cedera di Gaza.
Jasa, ketulusan budi, dan keprihatinan arwah terhadap nasib insan yang tertindas akan sentiasa kami kenang sebagai inspirasi perjuangan kemanusiaan.
Sama-sama kita mendoakan agar roh Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal jariahnya, dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Al-Fatihah.
“Nurturing Humanity, Making a Difference”