Senyuman di sebalik penderitaan. Itulah kata-kata yang sesuai diungkapkan apabila Wakil-wakil daripada Yayasan Buruj dan MyCARE melaksanakan agihan kepada 140 buah keluarga yang terkesan dengan tragedi kebakaran di Sandakan baru-baru ini.
Seperti mana yang kita maklum, 1,000 buah rumah terbakar dan 8,000 orang penduduk terjejas dalam kejadian yang berlaku pada 19 April 2026 yang lalu. Hari ni menandakan lebih sebulan peristiwa sedih itu berlaku.
Manakala dalam satu kejadian lain pada 29 April 2026, kebakaran telah berlaku di Kampung Karamunting, Sandakan yang menjejaskan 40 buah keluarga.
Dalam keperitan itu, mereka berusaha untuk tabah dan senyum. Saling bantu membantu dan kuat menguatkan. Begitu juga kehadiran team Yayasan Buruj dan MyCARE adalah untuk menghulurkan sedikit bantuan tanda ukhuwah dan sokongan.
Agihan telah dilaksanakan di Unit Pemimpin Pembangunan Karamunting dan Dewan PPR Batu Sapi. Setiap penerima menerima 14 jenis
barang-barang dapur seperti beras, gula, tepung, kopi, telur, mee kering dan lain-lain lagi. Di samping itu wang tunai turut diberikan.
Wakil-wakil dari Yayasan Buruj yang hadir di lapangan ialah Haji Idris Omar, Puan Maziyah Hassan dan Puan Syahirah Hanim Idris. Manakala MyCARE diwakili oleh Puan Roha Hassan, En. Muhammad Hariz Hermanshah, En. Danial Sufi serta barisan sukarelawan MyCARE di Sandakan.
Semoga sumbangan ini dapat membantu persiapan penerima dalam menghadapi Eidul Adha yang bakal tiba. Didoakan setiap sumbangan pada hari-hari mulia ini juga menjadi saksi kebaikan dan pemberat timbangan amal para penyumbang di akhirat kelak.
Allah SWT berfirman:
“Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai ada seratus biji.” (Surah Al-Baqarah: 261)