Alhamdulillah, selesai sudah satu program bermakna yang mempereratkan ukhuwah rentas sempadan apabila Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei telah menganjurkan program UNISSA INTERNATIONAL OUTREACH: Peduli Ummah 2.0 Kampung Berungis, Tuaran, dengan kerjasama rakan strategik di Sabah iaitu Hidayah Centre Foundation (HCF) Kota Kinabalu dan MyCARE Sabah.
Program ini telah menghimpunkan seramai 30 orang pelajar Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) Kampung Berungis bersama 30 orang delegasi istimewa dari UNISSA, Brunei, serta turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil MyCARE Pusat iaitu Puan Roha Hassan dan Encik Muhammad Danial Sufi.
Suasana sepanjang program begitu meriah dan penuh kehangatan apabila para peserta diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuklah sesi aktiviti kumpulan yang memupuk semangat kekeluargaan, diikuti dengan jamuan sarapan pagi potluck istimewa yang disediakan sendiri oleh pelajar KBM Kampung Berungis.
Program turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu yang bermakna oleh barisan asatizah delegasi UNISSA. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa oleh wakil pelajar KBM serta penyampaian sumbangan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan daripada pihak UNISSA Brunei kepada para peserta.
Pihak MyCARE Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei atas inisiatif menganjurkan program ini serta sumbangan bakul makanan dan keprihatinan yang diberikan kepada komuniti di Sabah.
Penghargaan yang sama juga ditujukan kepada Hidayah Centre Foundation (HCF) selaku rakan kerjasama dan pihak pengurusan Masjid Nurul Ikhwaniah, Kampung Berungis atas kerjasama erat melancarkan program ini, barisan Pelajar KBM HCF Kampung Berungis atas sambutan yang luar biasa dan hidangan potluck yang lazat, serta Puan Roha Hassan dan Encik Muhammad Danial Sufi dari MyCARE Pusat atas sokongan bermakna turun padang bersama kami.
Semoga usaha dakwah dan kebajikan ini berterusan serta memberkati langkah kita semua dalam menyantuni golongan sasaran.
Teruskan menyumbang bersama MyCARE.