KUALA LUMPUR, 6 Apr 2017 – Satu sidang akhbar telah diadakan anjuran Gabungan NGO Kemanusiaan Syria (GNKS) bagi mengutuk serangan kimia gas sarin yang dilakukan oleh rejim Assad dan Russia ke atas bandar Khan Sheikhoun di Selatan Idlib kelmarin.

Pengerusi Gabungan NGO Kemanusiaan Syria, Dr. Hafidzi Mohd Nor mengecam tindakan ini kerana ianya jelas melanggar undang-undang antarabangsa khususnya Konvensyen Senjata Kimia 1997.

Lagi gambar-gambar di album i4Syria

Menurut laman Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), serangan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 58 orang termasuk 11 orang kanak-kanak dan 160 orang cedera.

Laman sosial mula dibanjiri foto-foto dan video menunjukkan kesan serangan tersebut. Imej yang terpapar jelas menunjukkan bahawa terdapat tanda-tanda penggunaan senjata kimia dalam serangan yang berlaku.

Tambah Dr. Hafidzi Mohd Nor selaku pensyarah fakulti Zoology di UPM, gas sarin yang digunakan di dalam serangan ini mempunyai fungsi yang sama dengan racun perosak. Gas sarin adalah lebih berbahaya dari Hydrogen Cyanide dimana mangsa tidak akan menyedari gas sarin ini kerana ianya tidak mempunyai bau, warna dan rasa.

Mangsa gas sarin akan mengalami kegagalan otot dan organ untuk berfungsi di mana paru-paru tidak dapat menjalankan tugas untuk menghirup oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida. Pandangan mangsa akan menjadi kabur, hidung berair dan sebagainya. Jelas menunjukkan mangsa gas sarin ini menghadapi kematian yang amat menyeksakan dalam tempoh 1 sehingga 10 minit!

Seusai sidang akhbar, satu memorandum diserahkan kepada Duta Besar Syria di Malaysia dari GNKS bagi mewakili rakyat Malaysia yang prihatin. Walaubagaimanapun, kedatangan GNKS ditolak dengan alasan tiada temu janji (walhal sudah dimaklumkan beberapa kali), mereka sudah berhubung dengan pihak kementerian Malaysia mengenai isu ini serta alasan sudah tamat waktu kerja (walaupun belum pukul 4 petang).

Pengerusi Syria Care, Ustazah Siti Sakinah mengecam tindakan rejim Assad dan Russia yang menyebabkan ramai kanak-kanak menjadi mangsa. Beliau mengatakan kawasan Khan Sheikhoun tidak mempunyai apa-apa kepentingan, hanya orang awam sahaja yang berada di situ. Beliau juga menyeru orang ramai untuk berpusu-pusu berkongsi berita dair sumber-sumber yang dipercayai sebagai solidariti kita bersama mereka. Doa yang tidak putus dari rakyat Malaysia amat diperlukan di saat ini.

Teruskan menyumbang bagi membantu mereka di sana.

***

GNKS terdiri daripada NGO-NGO berikut:
1. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
2. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
3. Malaysia Life Line For Syria (MLL4S)
4. Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR)
5. Syria Care
6. Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM)
7. Muslim Care
8. IMAM relief & Rescue Team (IMARET)
9. Yayasan Restu