Semasa team MyCARE berada dalam penerbangan dari Makassar menuju ke Palu, kami mendapat satu kisah yang menarik. Seorang anak kecil akan dipertemukan semula dengan ibunya setelah terpisah kerana gempa dan tsunami.

Semasa tsunami berlaku di Palu, Siti Hasibuan bersama suaminya menjumpai seorang kanak-kanak lelaki keseorangan berusia 6 tahun bernama Iyaz. Ibu ini dan suaminya adalah pasangan Kapolda di Palu (Kepala Polisi Daerah) atau OCPD di Malaysia. Iyaz mengalami kecederaan di bahagian kepalanya semasa mereka menemuinya. Atas dasar kemanusiaan, pasangan ini nekad memandu kereta selama 3 hari dari Palu ke Makassar untuk mendapatkan rawatan segera buat Iyaz walaupun keadaan jalan yang sudah musnah.

Ketika di Makassar, ibu Siti sempat menularkan gambar Iyaz di Facebook miliknya dengan harapan ada yang mengenali Iyaz. Alhamdulillah, berita ini sampai kepada ibu Iyaz dan beliau terus menghubungi ibu Siti. Ibu Iyaz mengatakan kesyukurannya dan keberadaan mereka yang kini tinggal di pos pengunsi (khemah sementara) di Palu.

Akhirnya, selepas 9 hari tidak bertemu dengan ibunya, ibu Siti membawa Iyaz pulang ke Palu dengan pesawat yang sama dengan kami. Kami sempat mendengar panggilan telefon dari ibu Iyaz yang kedengaran agak risau dan bimbang dengan keadaan anaknya. Jawapan ibu Siti amat ringkas, “Jangan bimbang Bu, saya akan bawa anak ibu terus ke tempat ibu. Iyaz ini anak yang baik.”

Mungkin beberapa hari ini kita melihat kisah-kisah yang tidak elok di Palu ditularkan rakyat Malaysia sendiri. Tetapi masih banyak lagi kisah-kisah yang baik di Palu tidak ditularkan untuk kita ambil iktibar. Peristiwa ini menunjukkan satu kisah pengorbanan yang tinggi.

Walaupun ibu Siti dan suami boleh memilih hanya menyelamatkan diri dan 6 orang anaknya ke Makassar, tetapi mereka sanggup membawa seorang anak kecil yang mereka tidak kenal untuk mendapatkan rawatan di hospital yang jauhnya 3 hari perjalanan. Dan kemudian, dihantar pulang terus kepada ibunya.

Doakan keselamatan dan kesejahteraan kami sepanjang di sini. Baru sahaja mengalami gegaran gempa selama 3 saat.

Teruskan membantu mangsa gempa di www.billplz.com/tsunamisulawesi