KUALA TERENGGANU, 24 Mac 2018 – “Anak-anak yatim ini, rapatnya dengan diri kita adalah seperti dua jari ini,” berikut kata-kata Pengerusi MyCARE Terengganu, Tuan Muhammad Hazrul Hashim yang mengambil makna daripada hadis yang dinyatakan di sebuah majlis meraikan para penaja anak-anak yatim anjuran MyCARE.

Seramai hampir 100 orang penaja dan bakal penyumbang hadir ke majlis tersebut yang terdiri daripada negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Puan Roha Hassan, Pengurus Besar MyCARE berkongsi prestasi terkini keseluruhan MyCARE dan program penajaan yang telah diwujudkan sejak 2010 lagi. Sehingga kini, MyCARE telah menyalurkan lebih dari RM100 juta kepada 22 buah negara.

Antara yang menarik dikongsikan beliau adalah, “Kita perlu menyediakan generasi yang muda untuk meneruskan usaha-usaha kemanusiaan ini. Oleh itu, kerjasama dengan semua pihak adalah sesuai kerana isu kemanusiaan merentasi segala perbezaan “

Seiring dengan itu, pelancaran “1 Tadika 1 Tabung” diadakan dengan hasil kerjasama Little Caliph yang mempunyai 260 cawangan di Malaysia. Usaha ini akan menggalakkan kanak-kanak di Malaysia khususnya Terengganu untuk bersama-sama dengan keluarga mereka supaya prihatin akan nasib anak-anak yang kurang bernasib baik di negara lain.

Lagi gambar-gambar di album MyCARE

Dr. Zabedah binti Awang, seorang pegawai perubatan dari Kuala Nerus yang telah menaja anak yatim melahirkan rasa syukur dan gembira yang amat sangat kerana dapat melihat perkembangan anak beliau yang ditaja. Beliau menambah, “Anak yatim yang saya taja ni, umurnya lebih kurang anak saya sendiri, dengan laporan bergambar tiap tahun yang saya dapat, serta surat coretan anak yatim saya sendiri untuk saya, kesemua ini membuatkan saya sangat berpuas hati dengan program tajaan ini.”

Sejak 2010, MyCARE sedang menguruskan 2,434 orang anak yatim di negara Palestin, Syria, Filipina, Rohingya dan Iraq. Hanya RM190 sebulan atau RM2,280 setahun bagi seorang anak yatim. Kepada yang berminat, hubungi 03-8941 2341 (Pn. Raimi atau Pn. Norlela).