Pengisytiharan Pelan Pembahagian Tanah Palestin (Partition Plan) oleh PBB melalui Resolusi 181 pada 29 November 1947 telah membangkitkan kemarahan rakyat Arab terutamanya rakyat Arab Palestin. Pelan ini mengusulkan pembahagian tanah Palestin kepada 3 iaitu negara Israel (56%), negara Palestin (43%) dan wilayah antarabangsa (Jerusalem, 1%).

Apabila British kemudiannya mengisytiharkan tarikh akhir pengunduran tentera British dari Palestin ialah pada 15 May 1948, tentera Arab dan tentera Zionis Yahudi telah menyusun percaturan untuk memastikan masing-masing akan dapat menguasai keadaan sejurus selepas pengunduran tentera British.

Tentera Arab terbahagi kepada 2 kumpulan besar – satu kumpulan diketuai oleh Fawzi al-Qawuqji (dilantik oleh Liga Arab) manakala satu lagi diketuai oleh Abdul Qadir al-Husayni (disokong penuh oleh Mufti Jerusalem, al-Haj Amin Husayni). Kumpulan-kumpulan militan Zionis Yahudi pula – Haganah, Irgun, Stern Gang/Lehi dan Palmach, telah bergabung membentuk beberapa briged.

Pengerakan awal tentera Arab masuk ke posisi-posisi strategik di Palestin telah menyebabkan warga Yahudi yang tinggal di Baitul Makdis (Jerusalem) terperangkap dan mengalami kekurangan bekalan makanan. Catuan terpaksa dibuat bagi memastikan mereka dapat bertahan sekiranya perang tercetus.

Melihat senario ini, 2 briged tentera Israel – Briged Givati dan Briged Harel telah bergabung untuk membuka jalan masuk ke Jerusalem untuk menghantar bekalan makanan dan senjata kepada penduduk Yahudi di sana. Gabungan ini dikenali sebagai Operasi Nachshon*.

Operasi ini menyaksikan buat kali pertama Israel menghantar briged (1,500 orang) ke medan pertempuran. Sebelum ini pergerakan tentera Israel terhad kepada kumpulan-kumpulan kecil seperti kompani, infantri atau platun (50-200 orang).

Arahan untuk membuka jalan masuk ke Jerusalem telah sampai seawal 2 April tetapi telegram yang mengesahkan arahan ini perlu dilaksanakan dengan seberapa segera hanya diterima pada 5 April. Oleh sebab itu, serangan pertama telah dilancarkan dengan segera pada sebelah malam.

Lebih 13 kawasan perkampungan Arab yang telah dirempuh dan dimusnahkan bagi membuka jalan masuk ke Jerusalem. Antaranya termasuklah Deir Muheisin, Seidun, Khulda, Qastal, Beit Naqquba, Qaluniya, Deir Yasin, Deir Aiyub, Wadi Hunayn dan Bab El Wad. Ramai rakyat Arab Palestin yang dipaksa menjadi pelarian dalam operasi ini sementara sebahagian yang lain terkorban dalam insiden pembunuhan beramai-ramai (massacre) seperti di Deir Yasin. Turut mendukacitakan ialah terkorbannya Abdul Kadir al-Husayni, ketua kumpulan mujahidin Jaysh al-Jihad al-Muqaddas dalam serangan 8 April di Qastal.

Melalui operasi ini, 3 konvoi yang membawa 1,800 tan bekalan makanan telah berjaya dibawa masuk ke perkampungan Yahudi di Jerusalem. Tentera Zionis Yahudi juga berjaya membekalkan senjata kepada penduduk Yahudi di Jerusalem untuk sama-sama berjuang mendirikan negara Israel. Namun, jalan masuk ini hanya mampu bertahan dari 15-20 April sahaja sebelum tentera Arab berjaya mengekang perjalanan operasi ini.

Butiran dokumen perang jelas menunjukkan bahawa Operasi Nachshon merupakan permulaan kepada pelan penghapusan etnik terancang atau Pelan Dalet** yang disusun oleh kumpulan militan Haganah pimpinan David Ben Gurion***. Pelan ini diwujudkan khas bagi memastikan negara Israel akan dapat ditubuhkan melalui apa cara sekalipun sejurus selepas pengunduran British dari Palestin pada 15 May 1948.

* Operasi Nachshon dinamakan sempena mengingati personaliti kitab Bible, Nachshon Ben Aminadav, orang pertama yang merentas Laut Merah ketika peristiwa Nabi Musa alaihissalam membelah laut untuk menyelamatkan bani Israel dari kekejaman Firaun.

** Pelan Dalet (dalet merupakan huruf keempat dalam bahasa Hebrew) adalah pelan ke-4 yang telah disusun oleh Haganah, kumpulan militan Zionis Israel yang terbesar bagi merealisasikan impian menubuhkan negara Israel di atas tanah Palestin selepas Pelan A-C gagal disempurnakan. Selepas penubuhan Israel, tentera Haganah secara automatik membentuk badan ketenteraan Israel atau Israel Defense Force (IDF).

*** Kejayaan operasi-operasi ketenteraan kumpulan militan Zionis Yahudi pimpinan David Ben Gurion telah menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Israel yang pertama. Beliau mendapat jolokan sebagai Bapa Penubuhan Israel.