Pada 25 April 1920, empat buah kuasa besar – England, Perancis, Itali dan Jepun (Amerika Syarikat sebagai negara pemerhati), telah bertemu bagi membincangkan dengan lebih terperinci pembahagian tanah rampasan Perang Dunia Pertama (WWI) di wilayah Timur Tengah. Konferens ini merupakan lanjutan kepada Konferens London pada awal tahun tersebut (12-24 Februari).

Keputusan konferens ini merupakan antara keputusan penting yang mengubah landskap geopolitik di Timur Tengah. Ia merupakan konferens pertama di abad 20 yang menyaksikan kuasa-kuasa besar dunia sebulat suara menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin.

Konferens ini secara rasmi menetapkan bahawa 3 wilayah utama yang berjaya ditawan – Mesopotamia (Iraq), Syria dan Palestin, akan diiktiraf sebagai entiti nasional yang berasingan dan diletakkan di bawah pemerintahan ‘bermandat’ sehingga keadaan kembali reda dan rakyat tempatan mempunyai keupayaan untuk memerintah negara mereka dengan sempadan yang baru dibentuk.

Konferens ini juga telah mengiktiraf ketetapan British dalam Deklarasi Balfour (1917) untuk menyelia dan memastikan janji British kepada Kesatuan Zionis Antarabangsa dapat ditunaikan berpandukan artikel 22 dalam Perjanjian Liga Negara-Negara (Covenant of the League of Nations). Konferens juga berjanji untuk memastikan supaya proses ini tidak sekali-kali akan mengganggu-gugat hak sivil dan beragama rakyat tempatan di Palestin.

Keputusan konferens ini telah disahkan melalui Perjanjian Sevres (Bahagian VII, Artikel 94-97) pada 10 Ogos 1920. Kerajaan Khilafah Turki yang ketika itu di bawah kawalan Tentera Bersekutu telah dipaksa menandatangani perjanjian tersebut sungguhpun ia tidak diredhai rakyat Turki.

Akibatnya rakyat Turki telah bangkit sehingga mencetuskan perang kemerdekaan Turki. Malangnya, Turki akhirnya terpaksa menandatangani Perjanjian Lausanne (24 Julai 1923) dan menerima ketetapan Konferens San Remo bagi mengakhiri konflik yang berlaku.

Chaim Weizman*, Pengerusi Pertubuhan Zionis Antarabangsa pada ketika itu dilaporkan berkata, “Anda boleh katakan bahawa negara Israel lahir pada 25 April di San Remo kerana keputusannya sangat signifikan.”

Lord Curzon, Setiausaha Hal Ehwal Luar British menyifatkannya sebagai ‘Magna Carta’ bagi Israel.

Howard Grief, penulis buku ‘The Legal Foundation and Borders of Israel under International Law’ mengatakan bahawa keputusan Konferens San Remo menjadi dasar kepada usaha mempertahankan hak penubuhan negara Yahudi di Palestin. Grief menyebutkan bahawa rakyat Arab tidak seharusnya mempertikaikan keputusan konferens ini yang jelas memihak kepada rakyat Arab yang telah dikurniakan wilayah di Syria dan Mesopotamia (Iraq).

“Mengapa mengapa perlu merungut?” Ujar Grief, mengajuk kata-kata Lord Balfour*.

Beliau turut menambah bahawa tindakan PBB membahagikan tanah Palestin kepada dua (Israel dan Palestin) menerusi Resolusi 181 adalah bertentangan dengan keputusan konferens ini. Justeru, Israel berhak menolak resolusi tersebut.

Eli Hertz, Presiden Myths and Facts menjelaskan bahawa dokumentasi konferens ini memberikan hak kepada Israel untuk membina penempatan di Tebing Barat (Judea dan Samaria) dan ianya tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Tuduhan pihak antarabangsa termasuk PBB adalah tidak berasas sama sekali. Malah, beliau menegaskan bahawa dunia sepatutnya membantu usaha Israel membina penempatan di wilayah itu.

Biar apa pun naratif yang cuba dilontarkan oleh Zionis Israel, cubaan membahagi-bahagikan tanah umat Islam tidak pernah diredhai oleh rakyat tempatan. Kuasa-kuasa besat memberikan mandat kepada diri mereka sendiri untuk mencipta peta dunia yang baru di wilayah-wilayah yang mereka jajah. Mereka menabur pelbagai janji manis tetapi tiada satu pun yang mereka kotakan.

Sahlah bahawa konflik Palestin hari ini adalah tinggalan konflik pasca Perang Dunia Pertama yang belum menemui kesudahannya.

* Chaim Weizman adalah Presiden Israel yang pertama.
* Lord Balfour atau Arthur James Balfour adalah Setiausaha Hal Ehwal Luar British (1916-1919) yang menulis sepucuk surat kepada Baron Rothschild menyatakan restu juga persetujuan kerajaan Britain untuk membantu pertubuhan Zionis membina sebuah negara Yahudi di Palestin. Surat ini kemudiannya diangkat sebagai Deklarasi Balfour.