GOMBAK, 18 Mac 2017 – Sempena 6 tahun revolusi Syria, MyCARE bekerjasama dengan Syria Care – Malaysia telah menganjurkan satu program bagi membincangkan bagaimana hala tuju Syria selepas 6 tahun revolusi ini.

Ulama-ulama Syria dijemput khas bagi menyampaikan secara terus kepada audiens mengenai situasi sebenar di Syria.

Simposium dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an dari Ust Abdul Rahman Sayuti dan dipengerusikan oleh DJ Salamfm 91.1, saudara Nasri Nasir.

Syeikh Abdullah Rahhal, pengerusi Yayasan al-Ahbab al-Insaniyah memulakan bicara dengan mengupas konflik yang berlaku di Syria adalah realiti dan bukanlah propaganda. Beliau mengingatkan kita bahawa pembangunan Syria sangat memerlukan bantuan-bantuan daripada masyarakat dunia, bukan hanya rakyat Syria sahaja.

Syeikh Mahmoud Dahla, Pengetua Maahad Allamah Abdul Razzaq Al-Halabi menambah bahawa ideologi-ideologi Syiah juga disebar manakala Ahli Sunnah Wal Jamaah dihapuskan secara halus. Beliau yang berkhidmat selama 25 tahun sebagai khatib di masjid-masjid sekitar Damsyik mengatakan, “Konflik ini akan berakhir dan kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan. Apa yang kita perlukan adalah keyakinan dan kesabaran yang tinggi serta usaha untuk mempersiapkan generasi akan datang.”

Para peserta dihiburkan dengan pementasan mini teater dari Sekutu Ghuraba dan flashmob dari The Hustler’s ZONE.

Dalam Sidang Media 7 Tahun Bencana Kemanusiaan di Syria, Pengerusi MyCARE dan Pengerusi Gabungan NGO Syria, Dr. Hafidzi Mohd Nor mengecam tindakan pembunuhan orang awam Syria yang dilakukan oleh semua pihak yang bertelagah di Syria yang mengakibatkan kematian 420,000 nyawa. Beliau juga menggesa penjenayah yang bertanggungjawab dalam pembunuhan orang awam Syria dibawa ke muka pengadilan kerana pencabulan undang-undang antarabangsa seperti serangan kimia, kepungan dan jenayah seksual.

Pengerusi Syria Care – Malaysia, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Bari memberikan inspirasi kepada audiens melalui kisahnya bagaimana titik-titik permulaan beliau sebagai sukarelawan yang sanggup mengorbankan jiwa dan harta demi membantu saudara-saudara di Syria sejak tahun 2012 sehingga sekarang.

Program disambung dengan cerita seorang anak muda yang berbangsa Cina, Chris Lau yang mempunyai pengalaman ke zon perang Syria sebanyak 3 kali. Beliau berkongsi pengalaman melihat dengan mata kasarnya pengeboman yang berlaku serta kekejaman rejim laknat Assad dan Russia.

Penganalis, Penerbit Eksekutif dan Wartawan Astro AWANI, Tuan Haji Nazri Kahar mengupas idea-idea kritis dan check and balance dari skop orang awam dan kewartawanan supaya rakyat Malaysia terutamanya turut terlibat dalam membangunkan masa depan Syria yang lebih terjamin.

Majlis diakhiri dengan ulasan-ulasan dari Ar. Syed Muhammad Radhi, Ahli Pemegang Amanah MyCARE dan penulis buku 10 Salah Faham Terhadap ISIS mengenai fikrah-fikrah ISIS yang bertentangan dengan agama Islam.

Lain-lain gambar di album IKRAM for SYRIA (i4Syria)

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh peserta yang hadir ke Simposium Hala Tuju Masa Depan Syria. Terima kasih juga kepada rakan-rakan media yang hadir membuat liputan serta menyalurkan isu-isu kemanusiaan Syria ini kepada orang ramai.

Penghargaan juga kepada para penaja dan sukarelawan yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

Pihak kami memohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan sepanjang program ini berlangsung.

Semoga inisiatif kita pada hari ini menjadi salah satu asbab penting pada kebangkitan Syria.

Kerjasama:
Syria Care – Malaysia, Malaysian Humanitarian Aid and Relief – MAHAR, MyCARE, Malaysia Life Line for Syria, Muslim Care Malaysia Society, Persidam : Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia, Yayasan Restu, Persatuan Perubatan Islam Malaysia – IMAM, Green Project, MUNSYID MALAYSIA, MASSA, One Moment For Them – Jordan, Tangisan Syria Di Bumi Jordan, Muslim Volunteer Malaysia – MVM, Yayasan Kubra, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Pertubuhan Kembara Amal