MyCARE telah melaksanakan Misi Bantuan Banjir di Perak, menghimpunkan sukarelawan dari MyCARE HQ dan MyCARE Perak serta Yayasan IKRAM Perak bagi membantu komuniti yang terkesan.
Hari pertama menyaksikan sukarelawan bergerak ke Kampung Changkat Jong, Teluk Intan, membersihkan 5 buah rumah yang dipenuhi kesan lumpur dan sisa banjir. Setiap ruang yang dibersihkan bukan sekadar mengembalikan rumah, tetapi sedikit demi sedikit mengembalikan harapan.
Misi diteruskan pada sebelah petang di Kampung Ulu Kayan, Setiawan, dengan aktiviti pembersihan di 2 buah rumah serta agihan toto kepada 2 keluarga.
Pada hari kedua pula, pasukan kami bergerak ke PPS Dewan Serbaguna komuniti Orang Asli, Gombak yang mula dibuka pada 3 Disember 2025 bagi menyampaikan sumbangan keperluan asas merangkumi makanan ringan, air minuman, roti serta kit kebersihan termasuk tuala wanita dan sabun.
Walaupun hujan berterusan, sukarelawan tetap gigih turun membeli barangan keperluan dan memastikan setiap bantuan disampaikan dengan selamat tanpa terkena hujan kepada penerima. Seramai 47 orang yang terkesan akibat kejadian tanah runtuh telah menerima bantuan ini.
Di saat bencana menguji ketabahan, kehadiran sukarelawan dan sokongan masyarakat menjadi bukti bahawa kemanusiaan tidak pernah meninggalkan mereka yang diuji.
Terima kasih kepada sukarelawan yang menjayakan misi ini, meluangkan masa serta tenaga demi memastikan kebahagiaan buat mereka yang diuji dengan bencana.