Di tengah krisis air bersih yang semakin meruncing di Gaza, setiap titisan air menjadi penentu kehidupan.
Pada awal Disember 2025, MyCARE dengan sokongan Yayasan Buruj telah berjaya melaksanakan penyelenggaraan menyeluruh sebuah telaga air komuniti di Beach Refugee Camp, Gaza City.
Projek ini memulihkan semula akses air bersih dan selamat kepada kira-kira 1,000 orang penduduk yang sebelum ini berdepan gangguan bekalan akibat kerosakan infrastruktur. Kabel elektrik, paip, injap dan komponen mekanikal yang rosak diganti sepenuhnya oleh juruteknik bertauliah, disusuli ujian kualiti air mengikut piawaian WHO bagi memastikan air yang dibekalkan benar-benar selamat digunakan.
Bagi keluarga di kem pelarian yang telah lama hidup dalam kekurangan air, pemulihan telaga ini membawa perubahan besar dalam rutin harian dan kesihatan mereka.
Bekalan air yang stabil membantu mengurangkan risiko penyakit bawaan air, meningkatkan tahap kebersihan dan memberi kelegaan kepada golongan paling rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya. Penduduk meluahkan rasa syukur kerana sistem baharu beroperasi dengan lebih cekap dan bertekanan baik.
Inisiatif ini bukan sekadar membaiki sebuah telaga, tetapi menyambung semula nadi kehidupan dan menyalakan harapan buat komuniti yang terus diuji oleh krisis berpanjangan.
Terima kasih kepada Yayasan Buruj dan penyumbang MyCARE yang bersama dalam projek ini.
“Nurturing Humanity, Making a Difference.”