KENYATAAN MEDIA

Gabungan NGO Kemanusiaan Syria dan NGO-NGO Malaysia
15 Disember 2016 bersamaan 15 Rabiul Awal 1438H

1. Selepas lebih 4 tahun, tentera regim Bashar al-Assad dan sekutunya – Hezbollah, militan Syiah, Iran dan Rusia, akhirnya berjaya merampas semula wilayah Aleppo daripada penguasaan pejuang pembebasan Syria pada hari Isnin, 12 Disember 2016.

2. Serangan bertalu-talu secara pukul rata (indiscriminate) ke atas Aleppo sejak pertengahan November akhirnya memaksa tentera pembebasan Syria berundur dari Aleppo dan menyeru US, Turki dan negara-negara lain yang prihatin untuk menjamin dan melindungi keselamatan lebih 100,000 rakyat Aleppo yang masih terperangkap.

3. Tiada apa lagi yang mampu dipertahankan di Aleppo apabila serangan dilakukan dengan begitu berleluasa tanpa memikirkan nasib orang awam dan peruntukan undang-undang antarabangsa.

4. Tentera rejim dan sekutunya tidak mengecualikan penempatan awam, hospital, gudang simpanan bantuan kemanusiaan, loji bekalan air dan stesen janakuasa elektrik dalam serangan mereka. Gesaan kepada gencatan senjata untuk memberi laluan kepada bantuan perubatan dan kemanusiaan pula ditolak begitu sahaja.

5. Tentera rejim dengan jaminan Rusia telah berjanji untuk menyediakan koridor kemanusiaan untuk membenarkan rakyat Aleppo keluar menyelamatkan diri. Walau bagaimanapun, koridor ini sebaliknya telah digunakan sebagai helah dan kesempatan untuk tentera rejim terus melakukan pembunuhan ke atas rakyat Aleppo.

6. Laporan menunjukkan terdapat bukti jenayah pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim dan militan Syiah ke atas rakyat Aleppo di perkampungan Bustan al-Qasr, al-Fardous, al-Kallaseh dan Salahuddin sejak Sabtu lalu. Mereka menggeledah rumah-rumah di Aleppo dan menembak mati rakyat awam yang berlindung di dalam rumah dan yang lari menyelamatkan diri. Laporan juga menunjukkan ada wanita-wanita yang dirogol dan dibakar hidup-hidup. Malah, penemuan lebih 200 mayat ditemui dalam keadaan tangan terikat adalah bukti berlakunya pembunuhan kejam di Aleppo.

7. Kelmarin tersebar video-video ‘SOS’ rakyat Aleppo di media sosial. Mereka merakamkan ucapan terakhir kerana merasakan sudah tiba giliran mereka untuk menjadi mangsa pembunuhan rejim Bashar al-Assad. Mereka merayu agar dunia berusaha keras menyelamatkan rakyat Aleppo yang masih selamat.

8. Dan kita semua membaca mesej terakhir daripada seorang anak gadis di Aleppo yang mendakwa akan mengambil nyawanya sendiri kerana tidak rela dirinya diperkosa dan menjadi pemuas nafsu tentera rejim dan militan Syiah.

9. Kami dari Gabungan NGO Kemanusiaan Syria dan NGO-NGO Malaysia sebulat suara:

a) mengecam serangan, pembunuhan dan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Bashar al-Assad dan sekutu-sekutunya ke atas rakyat awam di Aleppo dan di seluruh Syria dan mendesak agar ia dihentikan dengan serta-merta;

b) mengutuk tindakan Iran yang menyokong dan mengukuhkan rejim Bashar al-Assad dan mendesak agar Iran menghentikan campurtangannya di Syria;

c) mengutuk tindakan Rusia yang bersekongkol dengan rejim Bashar al-Assad dan mendesak agar Rusia menghentikan serangan udaranya ke atas Aleppo yang telah membunuh puluhan ribu rakyat awam sejak September 2015;

d) mendesak duta PBB ke Syria, Staffan de Mistura supaya mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan dan pencabulan hak asasi ke atas penduduk Aleppo oleh tentera rejim dan sekutu-sekutunya;

e) mendesak PBB untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghukum negara-negara anggotanya – Syria, Iran dan Rusia atas kesalahan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai;

f) mendesak OIC supaya mengadakan persidangan tergempar untuk menghentikan pembunuhan keji ke atas rakyat Syria;

g) menggesa supaya kerajaan Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai anggota MajlisKeselamatan PBB untuk mengenakan tekanan diplomasi ke atas Syria dan sekutunya agar pembunuhan di Aleppo dihentikan;

h) menggesa kerajaan Malaysia untuk mengenakan tekanan kepada Syria melalui kedutaannya supaya menghentikan serangan dan pembunuhan di Aleppo.

Kenyataan media oleh :
Gabungan NGO Kemanusiaan Syria Malaysia :

1. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
2. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
3. Malaysia Life Line For Syria (MLL4S)
4. Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR)
5. Syria Care
6. Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM)
7. Muslim Care
8. IMAM Response & Relief Team (IMARET)
9. Yayasan Restu
10. Yayasan Alkubra
11. Green Project
12. Global Peace Mission (GPM)
13. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
14. Gabungan Ahlussunnah Malaysia
15. Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM)
16. Kelab Perkim UniKL MIIT
17. Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)
18. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
19. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
20. MASSA
21. Institut Al-Qayyim (IQ)
22. World Assembly of Muslim Youth (WAMY)
23. Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS)