Saya, Puan Raimi Sayuti dan En. Ahmad Harith Zuleffendi telah menziarahi keluarga terakhir dari Projek Migran Syria Kumpulan Pertama dan Kedua beberapa tahun yang lalu. Hubungan mereka dengan MyCARE tidak pernah terputus di mana keluarga ini terus menerima bantuan dari masa ke semasa melalui Tabung Asnaf MyCARE dan lain-lain.
Kunjungan kali ini bukanlah kunjungan yang pertama, tetapi mungkin yang terakhir kerana keluarga ini akan kembali ke Syria yang mereka cintai, tidak berapa lama lagi.
Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Sudah pasti rindu pada tanah air tak pernah berhenti.
Banyak sekali cabaran yang telah mereka harungi. Lautan airmata yang tumpah meratapi kematian keluarga tercinta juga segala onak duri menjadi pelarian. Tidak kurang juga kehilangan harta benda dan kerjaya yang satu masa dulu pernah dinikmati bersama.
Kami sempat bersama berbincang dan mengimbau kenangan program migran Syria dengan kerjasama Kerajaan Malaysia suatu waktu dahulu. Saya masih ingat apabila Kerajaan Malaysia mengumumkan hasrat menerima 3,000 pelarian/migran Syria secara sukarela dalam tempoh tiga tahun bermula 2015, sebagai tanda ihsan dan kemanusiaan semasa UNGA pada 1 Oktober 2015.
Seterusnya, kumpulan pertama (11 orang dari 3 keluarga) tiba pada 8 Disember 2015, diikuti keluarga kedua (68 orang dari 18 keluarga) pada 28 Mei 2016, mendarat di Pangkalan TUDM Subang.
Semua peserta yang dipilih mesti melalui tatacara dan saringan yang ditentukan. Para peserta program adalah Internally Displaced Persons (IDP) dari Bekaa Valley, Lubnan.
Mereka melalui saringan keselamatan dan kesihatan oleh Pasukan Petugas Khas. Penerimaan dibuat secara berfasa dari akhir 2015 hingga akhir 2018.
Migran Syria ini kemudiaannya, ditempatkan di Shah Alam, Selangor, di bawah pemantauan kerajaan dengan kerjasama beberapa buah NGO.
Kerjasama dijalinkan bersama gabungan NGO kemanusiaan Syria, termasuk:
1. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
2. Syria Care Malaysia
3. Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
4. ABIM, IMARET, Muslim Care, PERSIDAM, Malaysia Life Line for Syria, Yayasan Restu.
Tabung khas juga telah diwujudkan untuk menampung keperluan asas migran, seperti tempat tinggal, pendidikan, dan kesihatan. Saya masih ingat semua migran Syria tertakluk kepada undang-undang dan peraturan imigresen Malaysia.
Memandangkan Malaysia bukan penandatangan Konvensyen 1951 Pelarian, oleh itu migran tidak berstatus pelarian rasmi; sebarang bantuan adalah berdasarkan budi bicara kemanusiaan sahaja.
Semoga keluarga ini selamat kembali ke tanah air untuk meneruskan kehidupan normal seperti insan lain.