Satu peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia berlaku pada 21 Ogos 1969 apabila seorang Zionis warganegara Australia, Denis Michael Rohan telah bertindak membakar Masjid Al-Qibli, salah sebuah monumen dalam kompleks Masjid Al-Aqsa.

Kebakaran ini telah memusnahkan satu pertiga daripada masjid tersebut termasuk mimbar Nuruddin Zinki yang pernah digunakan Salahuddin al-Ayyubi.

Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit.

Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana Masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat Zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman).

Peristiwa ini merupakan satu konspirasi yang dirancang rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim Zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa.

Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa Israel.

Denis Michael dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman.

Kejadian ini mengingatkan kita kepada pembunuhan yang berlaku di Masjid Ibrahimi (Hebron) beberapa tahun lalu.

Pelampau Zionis ini juga dibicarakan dan mahkamah Israel memutuskan beliau juga tidak siuman.

Sama ada Denis Michael siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.

Tragedi ini merupakan yang terburuk pernah menimpa monumen suci umat Islam ini sejak ia dirampas pasca Perang Arab-Israel 1967.