Kenyataan Media: Freedom Flotilla Diserang, Tindakan Segera Diperlukan

Pada jam 12:23 pagi waktu Malta, kapal Conscience milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) telah diserang di perairan antarabangsa. FFC telah merancang satu misi aman di bawah kerahsiaan media untuk mengelakkan sebarang sabotaj. Sukarelawan dari lebih 21 negara, termasuk tokoh-tokoh terkenal, telah tiba di Malta untuk menyertai misi pelayaran ke Gaza. Namun, pada awal pagi tadi, kapal kami telah diserang. Dron bersenjata menyerang bahagian hadapan kapal kami yang tidak bersenjata sebanyak dua kali, menyebabkan kebakaran dan kerosakan teruk pada struktur kapal. Komunikasi terakhir menunjukkan bahawa dron tersebut masih berlegar di ruang udara kapal.

Kapal Conscience yang berada di perairan antarabangsa berhampiran pantai Malta itu segera menghantar isyarat kecemasan (SOS) selepas serangan berlaku. Sebuah kapal dari Cyprus Selatan telah dihantar namun tidak memberikan bantuan kelengkapan elektrik yang diperlukan. Serangan dron tersebut dipercayai menyasarkan generator kapal secara sengaja, menyebabkan kapal kehilangan kuasa sepenuhnya dan berisiko tinggi untuk tenggelam.

Turut berada di atas kapal ialah aktivis hak asasi manusia antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan secara aman untuk mencabar sekatan haram dan kejam Israel ke atas Gaza serta pada masa yang sama menyampaikan bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa. Sejak 2 Mac 2025, Israel telah menyekat semua lori bantuan daripada memasuki Gaza, menyebabkan lebih dua juta orang awam kebuluran yang dapat dilihat dengan jelas di depan mata masyarakat antarabangsa. Pakar kemanusiaan menganggarkan penduduk Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan setiap hari bagi memenuhi keperluan asas — namun tidak satu pun lori dibenarkan masuk sejak dua bulan lalu.

Pusat Penyelaras Penyelamat Maritim di Rom memaklumkan bahawa sebuah kapal tunda telah dihantar dan berada di lokasi. Namun, komunikasi kami dengan kapal Conscience telah terputus akibat serangan, dan kami tidak dapat mengesahkan maklumat ini. Di bawah undang-undang dan konvensyen maritim antarabangsa, Malta bertanggungjawab untuk bertindak dan memastikan keselamatan kapal awam yang berada dalam kecemasan di kawasan perairan berdekatan. Kegagalan memberi respon dan ketelusan dalam usaha menyelamat ini merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.

Duta Israel mesti segera dipanggil untuk memberi penjelasan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa ini, termasuk sekatan berterusan dan pengeboman kapal awam kami di perairan antarabangsa.

Kami menuntut agar:

– Kerajaan Malta segera melaksanakan tanggungjawabnya dan memastikan keselamatan semua individu di atas kapal;

– Komuniti antarabangsa mengecam tindakan agresif terhadap kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata ini dan mendesak agar pihak berkuasa Malta bertindak segera;

– Semua negara menghentikan sokongan politik, kewangan, dan ketenteraan terhadap sekatan, penjajahan dan dasar aparteid oleh Israel;

– Masyarakat awam menghubungi kedutaan dan suruhanjaya tinggi Malta di seluruh dunia bagi memastikan keselamatan aktivis kemanusiaan kami.

Freedom Flotilla Coalition (FFC)

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

Kempen Bencana Sumatera

Di saat kita berlindung dengan selesa, ada saudara kita di Sumatera yang sedang melalui hari-hari penuh ujian. Rumah rosak, keperluan terhad, dan harapan diuji satu

MyRamadan 2026

Ramadan kian menghampiri. Inilah bulan ibadah yang dinanti, saat kita berlumba-lumba melakukan kebaikan kerana setiap amal diganjarkan dengan pahala berlipat ganda.   Seiring hadirnya bulan

Bantuan MyCARE masuk Utara Gaza

Alhamdulillah! Dua buah lori konvoi berjaya memasuki Utara Gaza dan Bandar Gaza membawa bantuan awal bagi pemulihan penduduk yang terus terkesan oleh krisis kemanusiaan berpanjangan.