MyRamadan

Laporan Bantuan
Kecemasan Gaza

2023-2025

DATO’ SERI IR. DR. KAMAL NASHARUDDIN

BIN MUSTAPHA
PEng, FIEM, FASc, FAPM

Pengerusi, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Sepanjang dua tahun ini, dengan sokongan padu para penderma, MyCARE telah berjaya menyalurkan bantuan kecemasan merangkumi sektor makanan, perubatan, air bersih, penempatan sementara, pendidikan, advokasi serta pemulihan awal kepada keluarga yang terjejas. Secara keseluruhan, lebih 700,000 penerima manfaat telah berjaya disantuni dengan nilai sumbangan mencecah RM29juta.

 

Sebagai Pengerusi, saya menyaksikan sendiri bagaimana setiap sumbangan yang diterima – tidak kira besar atau kecil – diterjemahkan kepada harapan buat rakyat Gaza yang kehilangan segalanya. Di sebalik angka dan data yang dikongsikan, terkandung pelbagai kisah disebaliknya – tentang keberanian, ketabahan luar biasa serta harapan yang tak pernah putus. Laporan ini bukan sekadar catatan pencapaian, tetapi manifestasi ilitizam kemanusiaan yang telah kita pikul bersama.

 

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang – baik individu, institusi, mahu pun korporat, rakan pelaksana tempatan dan antarabangsa, para sukarelawan serta seluruh warga kerja MyCARE. Sokongan berterusan anda telah membolehkan MyCARE terus berkhidmat sehingga saat ini.

 

Saya juga ingin merakamkan ucapan khas kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim atas sokongan yang diberikan kepada misi flotila yang MyCARE sertai serta bantuan penuh untuk membebaskan semua rakyat Malaysia yang telah ditahan secara haram di perairan antarabangsa oleh rejim Zionis.

 

Akhir sekali saya ingin mengajak semua untuk mendoakan staf MyCARE serta ahli keluarga mereka yang telah gugur akibat genosid yang berlaku di Gaza. Pengorbanan mereka adalah bukti bahawa kerja kemanusiaan kadangkala menuntut harga yang amat mahal. Semoga ruh mereka ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang yang soleh.

 

Semoga laporan ini dapat memberi keyakinan kepada para penderma bahawa setiap amanah telah diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan integriti oleh MyCARE. Semoga sumbangan ini menjadi asbab kepada keamanan, keadilan dan kemerdekaan rakyat Palestin.

 

Dari Sungai ke Segara,

Palestin pasti Merdeka!

DATO' SERI IR. DR. KAMAL NASHARUDDIN BIN MUSTAPHA

PEng, FIEM, FASc, FAPM
Pengerusi, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Saya mewakili seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, kakitangan dan sukarelawan MyCARE ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang atas kepercayaan yang diberikan untuk kami menyalurkan bantuan anda kepada rakyat Palestin di Gaza. Tanpa kepercayaan anda mustahil MyCARE dapat lakukan semua ini.

 

Penghargaan khas juga kami tujukan kepada Dr. Ziad Shehada, Pengurus MyCARE Gaza dan pasukannya atas kesediaan untuk meneruskan operasi bantuan di tengah-tengah ketidaktentuan dan perang yang berlaku di Gaza. Mereka adalah wira sebenar yang memungkinkan semua ini.

 

MyCARE komited untuk terus memainkan peranan dalam usaha membantu penduduk Gaza dan menjadi suara Malaysia di peringkat antarabangsa untuk membela nasib rakyat Palestin yang tertindas.

Apabila segala-galanya telah dirampas daripada penduduk Gaza, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan harapan tidak turut dirampas daripada mereka. Gaza mungkin telah hancur. Tapi selagi ada tangan yang membantu dan hati yang mengambil berat, harapan akan terus hidup. Setiap usaha untuk membina semula Gaza membina lebih daripada sebuah struktur. Ia memulihkan harapan, maruah dan kehidupan.

TERUSKAN BERSAMA KAMI

Untuk laporan beraudit, layari https://www.mycare.org.my/laporan-audit