Herman merupakan salah seorang peserta Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) MyCARE x KPKT tahun 2025.
Orangnya tidak banyak berkata-kata, namun komitmennya dalam usaha untuk berjaya sentiasa terserlah. Seperti kata Usahawan terkenal Jack Ma, “Jangan pernah menyerah. Hari ini susah, esok mungkin lebih susah, tetapi lusa akan indah.”
Begitulah perjalanan Herman, penuh cabaran, tetapi tetap yakin pada masa depan.
Melihat keceriaan Herman, isterinya dan anak-anak ketika mereka berniaga, kami dari team MyCARE turut merasai kegembiraan itu.
Benarlah peribahasa, “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Penat lelah Team MyCARE memberikan latihan dan bimbingan kini mula membuahkan hasil.
Sebelum menyertai Program PEKB, perniagaan Herman agak suram dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan.
Namun setelah mengikuti kursus, bimbingan, pemantauan dan coaching intensif, beliau kini amat bersyukur apabila pendapatan purata telah meningkat kepada RM4,500 sebulan. Peningkatan ini bukan sekadar angka, ia adalah bukti usaha, disiplin dan keberkatan.
Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, 13:11)
Ketika berkongsi pengalamannya, Herman dan isterinya meluahkan rasa syukur kerana terpilih menyertai Program PEKB. Bagi mereka, kursus berkaitan produk, pemasaran, operasi perniagaan serta pemantauan fizikal dan dalam talian setiap bulan amat membantu membina keyakinan dan daya saing.
Seperti pesan Nabi SAW:
Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan tekun (itqan).” –Hadis Riwayat al-Baihaqi.
Herman membuktikan bahawa ketekunan adalah kunci. Seperti kata-kata motivasi oleh Usahawan terkenal seperti Tony Robbins : “Where focus goes, energy flows.”
Fokus Herman terhadap peningkatan diri telah mengalirkan tenaga positif ke arah perkembangan perniagaannya.
Untuk masa depan, Herman sekeluarga merancang membuka satu lagi cawangan perniagaan bagi memantapkan lagi usaha ekonomi keluarga. Harapan dan rancangannya seiring dengan pesanan Umar al-Khattab RA:
Janganlah kamu duduk berangan-angan tentang rezeki tanpa berusaha. Sesungguhnya langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.”
Di akhir bicaranya, Herman berharap Program PEKB oleh KPKT dan MyCARE dapat diteruskan agar lebih ramai golongan asnaf dan B40 menerima manfaat untuk menjana pendapatan stabil, membina keyakinan dan mengubah kehidupan.
Semoga semakin ramai peserta seperti Herman yang bangkit, berusaha, dan berjaya memecahkan batas kehidupan mereka, seterusnya mencipta masa depan yang lebih baik untuk keluarga dan masyarakat.