“Saya tiada pendapatan sebelum ini. Setelah mengikuti kursus PEKB anjuran MyCARE dan KPKT ini. Saya mampu menjana dana sebanyak RM1,500 sebulan”- Puan Jurina
“Produk saya adalah pelbagai jenis kek, biskut dan bun. Saya gunakan ilmu, modal, peralatan dan bahan-bahan yang diberikan oleh MyCARE dan KPKT. Pendapatan bulan Mac adalah RM1,194.70” – Puan Naemah
“Alhamdulillah Saya capai RM4,800 bulan ini. Syukur sangat. Terima kasih MyCARE” – Puan Rokiah
Masing-masing ceria menceritakan kejayaan mereka kepada team MyCARE yang sedang melaksanakan pemantauan terhadap 40 peserta PEKB 2025 di Bintulu.
Pemantauan kedua ini sedang berlangsung dari 8 hingga 12 April 2025.
Alhamdulillah tahun ini MyCARE diberikan kepercayaan sekali lagi oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) untuk golongan yang memerlukan dan berdaftar dengan eKasih.
Kali ini MyCARE memilih, melatih dan memantau para peserta di Bintulu seramai 40 orang dan Miri seramai 35 orang. Setakat ini para peserta mula menjana pendapatan di mana 80% peserta telah berjaya menjana pendapatan dari RM750 – RM4,800.
MyCARE mengucapkan tahniah kepada para peserta yang berjaya mencapai sasaran bulanan masing-masing. Semoga kejayaan mereka menjadi motivasi kepada yang lain untuk turut berusaha memperbaiki ekonomi diri dan keluarga.
Pepatah ada menyebut, “Bila anda beri seseorang ikan, maka anda memberinya makan untuk satu hari tetapi bila anda ajar seseorang itu memancing, maka anda akan memberinya makan seumur hidup.”
2 comments
Alhamdulillah..rezeki maha luas jika kita semangat dan rajin berusaha
Terima kasih atas perhatian dan sokongan Cik / Puan.