Seramai lapan orang rakyat Malaysia termasuk doktor perubatan, pakar undang-undang Antarabangsa, pengamal media dan aktivis telah berlepas menaiki kapal dari Pelabuhan Otronto, Italy menuju ke Gaza hari ini.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh NGO Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) terdiri daripada tiga orang doktor perubatan, empat orang aktivis dan seorang pengamal media.
Delegasi Malaysia terdiri daripada Dr. Fauziah Mohd Hasan – Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE yang juga merupakan seorang doktor pakar dan Jawatankuasa Pemandu FFC, Norsham Abu Bakar – Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE dan juga Jawatankuasa Pemandu FFC, Prof. Dr. Mohd Afandi bin Salleh – aktivis MyCARE yang juga merupakan Profesor Hubungan Antarabangsa, Dr Noorhasyimah Ismail dan Prof Emiratus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali sebagai aktivis MyCARE.
Turut serta Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, pakar perubatan dan Syafik Shukri Jalil wartawan Astro AWANI.
Untuk rekod, tahun 2025 tiga kapal FFC telah dihalang oleh rejim Zionis daripada belayar ke Gaza termasuk kapal Conscience, Madleen dan Handala. Pada bulan Mei, kapal Conscience dibom dengan menggunakan dron berhampiran perairan Malta diikuti kapal Madleen dan Handala dipintas tentera rejim masing-masing pada bulan Jun dan Julai.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, FFC dan TMTG berkata, misi ini melibatkan wartawan antarabangsa dan pakar perubatan sebagai tanda solidariti bersama wartawan media Palestin, wartawan dan petugas perubatan yang terus melaporkan situasi di Gaza.
Kapal ini melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Terdahulu, seorang delegasi Malaysia Dr. Maziah Muhammad telah pun belayar kini menuju ke Gaza menaiki kapal dibawah Thousand Madleen to Gaza (TMTG) bertugas sebagai pakar perubatan pada 27 September yang lalu.
Susulan itu, FFC menyeru kerajaan, institusi dan masyarakat untuk menyokong usaha ini selain menuntut laluan selamat bagi kapal tersebut dan hentikan sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan terus menghalang penduduk daripada memenuhi keperluan paling mendesak.
Kamarul Zaman Shaharul Anwar
Ketua Pegawai Eksekutif
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)