Alhamdulillah, MyCARE melalui kerjasama dengan Yayasan Buruj dan Humanitarian Access telah menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga terkesan banjir besar di Marib, Yaman.
Sejak Ogos 2025, hujan lebat dan banjir kilat telah memusnahkan ribuan rumah serta infrastruktur penting, menyebabkan ribuan keluarga hilang tempat tinggal dan keperluan asas. Di Marib sahaja, lebih 4,000 buah keluarga terjejas, majoritinya terdiri daripada keluarga pelarian dalaman (IDP) dan golongan yang amat terpinggir.
Melihat kepada keperluan mendesak ini, projek Emergency Needs for Displaced Families dilaksanakan dengan kos sebanyak USD 15,000, bertujuan mengedarkan bakul makanan kecemasan (25kg tepung, 10kg beras basmati, 10kg gula, minyak masak, pes tomato, kekacang).
Sebanyak 265 keluarga telah menerima bantuan ini, sekali gus mengurangkan tekanan kelaparan, risiko kesihatan, serta memberikan perlindungan asas untuk mereka meneruskan kehidupan pasca bencana.
Penduduk tempatan menzahirkan rasa syukur kerana bantuan ini hadir pada saat mereka kehilangan segala-galanya. Projek ini bukan sekadar menyelamatkan nyawa, malah mengembalikan sedikit maruah dan harapan buat keluarga yang diuji.
Setiap sumbangan daripada rakyat Malaysia adalah nadi kepada perjuangan kemanusiaan ini. Terima kasih kerana terus bersama kami membantu saudara kita di Yaman.