Dengan kerjasama media arus perdana dari Tv Al Hijrah, RTM, BERNAMA, Channel 10 dan Malaysia Gazette
Misi ini bermula dalam sunyi malam 17 Disember. Jam 9.00 malam, kami masih menyusun dan mengemas barangan sumbangan. Walau badan letih, hati kami sedar — setiap barang ini adalah amanah. 11.15 malam, kami bertolak ke KLIA, membawa bersama doa para penyumbang.
18 Disember 2025: Jam 10.30 pagi kami bertolak ke Medan. Setibanya di Lapangan Terbang Kualanamu Medan, ahli misi yang terdiri daripada 14 orang aktivitis MyCARE, team Econsave dan media berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan 1 yang diketuai oleh Ustaz NoorSyazly bin Rameli (MyCARE HQ) bersama 9 orang team Econsave dan media menghala ke Lhoksuemawe, Sumatera Utara dan Desa Geudumbak, Acheh Utara, Indonesia.
Manakala Kumpulan 2 yang diketuai oleh Saudara Muhammad Afiq Zharif bin Abd Aziz (MyCARE HQ) bersama 3 orang aktivis MyCARE menghala ke Kampung Simpang 3, Pinggir Rel, Besitang, Kabupaten Langkat, Sumatera Utara dan Desa Sunting, Acheh Tamiang Hulu.
19 Disember 2025: Kami memulakan misi di destinasi pertama menuju ke Pejabat Pak Lurah sebelum turun ke Kampung Simpang 3, Pinggir Rel, Besitang, Kabupaten Langkat, Sumatera Utara. Di sinilah tawa kanak-kanak kembali bergema melalui aktiviti psikososial, Fun With Balloons. Dalam tawa kecil mereka, kami belajar satu perkara: anak-anak hanya mahu kembali merasa selamat dan gembira.
Hari yang sama, kami menyerahkan sejadah yang kami bawa dari Malaysia hasil sumbangan orang ramai kepada Masjid Nurul Huda, Besitang.
Petang itu, perjalanan membawa kami ke Tanjung Pura. Di Desa Pekubuan, kesan banjir termenung selama hampir tiga minggu masih jelas. Kami bertemu Ibu Nani dan Ibu Marini, dua jiran yang diuji serentak. Wajah mereka tenang, namun cerita hidup yang dikongsi meninggalkan kesan mendalam di hati kami. sejadah dan telekung baru turut diserahkan kepada Masjid Nurul Hikmah, Tg Pura, Langkat.
20 Disember 2025: Agihan 100 paket beras dan 100 set sembako (sembilan makanan pokok) di Kampung Pinggir Rel dilaksanakan. Keletihan mula terasa, namun senyuman penerima mengingatkan kami — lelah ini kecil berbanding ujian mereka.
Perjalanan ke Aceh Tamiang pada 21 Disember benar-benar menguji kesabaran kami. Jalan sesak berjam-jam, perjalanan kami mengambil masa 10 jam pergi Dan balik, kami makan tengah hari merangkap makan malam jam 12.05 pagi, tenaga hampir habis. Namun setibanya di Kampung Sunting, melihat penduduk menyambut bantuan 100 set bedding kit, house cleaning kit, makanan kering, ubat-ubatan, pampers bayi dan tuala wanita..kami sedar mengapa kami perlu terus kuat. Lumpur masih ada, hampir 90% rumah total rosak dan ada yang beralih dari tapak asal, tetapi harapan mula tumbuh.
22 Disember: Pergerakan terpaksa dihentikan berikutan jalan yang sesak. Kami duduk bersama, bermuhasabah dan merancang misi seterusnya. Kami menghabiskan duit tunai sumbangan yang ada dengan membeli alat tulis dan kertas A4 untuk pendidikan anak-anak di sana, kami kirim dengan rakan NGO kami Human Initiative untuk disampaikan kepada penduduk Kampung yang terjejas. Dari lapangan, kami belajar bahawa bantuan bukan sekadar memberi — tetapi mendengar, memahami dan hadir bersama mereka yang diuji.
23 Disember: Kami pulang ke tanah air. Misi ini mungkin singkat, namun kesannya mendalam. Kami pulang dengan hati yang lebih rendah diri, jiwa yang lebih sedar, dan tekad untuk terus berbakti.
Terima kasih kepada semua penyumbang dan sukarelawan.
Setiap doa dan sumbangan anda telah menjadi cahaya buat mereka yang hampir putus asa.
Teruskan menyumbang untuk saudara-saudara kita membina semula kehidupan mereka.
Terima kasih Malaysia.
Terima kasih penyumbang budiman.
Sumbangan boleh disalurkan melalui:
Humanitarian Care Malaysia Berhad
Maybank Islamic Berhad
5515 7500 4299
CIMB Islamic Bank Berhad
8602 135 592
Bank Islam Malaysia Berhad
1209 2010 0349 04
WhatsApp slip sumbangan anda untuk resit rasmi.
Puan Hajah Norlizai
Cikgu Wani