Pada tahun ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) akan melaksanakan korban di 12 buah negara iaitu; Filipina, Iraq, Kemboja, Lubnan, Malaysia, Myanmar, Palestin, Sri Lanka, Sudan, Syria, Vietnam dan Yaman. Tahun ini juga merupakan tahun ke-18 program Qurban Kasih Ummah (QKU) ini dilaksanakan. Untuk tahun ini, IKRAM telah mengamanahkan kepada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bagi menguruskan program QKU ini.

Menjelang bulan Zulhijjah, kita akan bertemu dengan satu hari yang besar bagi umat Islam iaitu Hari Raya Aidiladha di mana ibadah korban telah disyariatkan. Ibadah korban ini adalah satu sunnah yang sangat dituntut dalam Islam dan mempunyai ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Di samping itu, budaya berkorban, sepatutnya sebati dengan kehidupan umat Islam. Kita diminta supaya berkorban membantu mereka yang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan. Setiap pengorbanan yang dibuat, sama ada dalam bentuk harta, masa, tenaga dan lain-lainnya, juga dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

Pengorbanan yang diajarkan oleh Islam tidak mengenal sempadan. Hakikatnya, ummah di serata dunia memerlukan pembelaan oleh kita yang berada di bumi Malaysia. Gaza masih terus dikenakan pelbagai sekatan oleh Israel. Rakyat Syria setiap hari semakin ramai yang meninggal dunia, sama ada disebabkan pengeboman yang berterusan ataupun dikepong hingga putus sumber makanan. Di Iraq dan Yaman juga masih berlaku pertempuran. Manakala Lubnan dan Sudan yang masih belum stabil, menerima jutaan pelarian. Mengambil kira faktor-faktor di atas, fokus utama QKU untuk tahun ini adalah untuk menyampaikan daging korban ke kawasan tersebut.

Disebabkan konflik yang berterusan ini, harga makanan dan haiwan hidup melambung tinggi. Seekor lembu di Gaza mencecah lebih RM12,000 seekor. Oleh itu, QKU mengamalkan konsep “crosssubsidy”, di mana lebihan dari kawasan yang lebih murah akan menampung harga lembu di kawasan yang mahal. Ini agar mereka semua boleh sama-sama menerima sumbangan yang sangat diperlukan ini, dan peserta korban pula tidak perlu membayar harga yang terlalu mahal.

Agar manfaat dari korban ini bersifat jangka panjang, QKU juga menawarkan pakej korban kambing yang dibekukan dan ditinkan. Sembelihan korban akan disejuk-bekukan atau dimasak dan seterusnya ditinkan. Proses ini dibuat di Australia dan New Zealand. Setelah itu baru ia dihantar ke kawasan yang bergolak. Dengan cara ini, kadar penyertaan adalah lebih rendah dan manfaatnya boleh dinikmati lebih lama oleh penerima sumbangan.

 

Untuk tahun ini, QKU ingin menawarkan pakej korban berikut sebagai pilihan:

  1. Pakej A – Korban Lembu : RM1,200 satu bahagian (Palestin, Syria, Iraq, Lubnan, Yaman, Sudan)
  2. Pakej B – Korban Lembu : RM480.00 satu bahagian (Pelbagai lokasi)
  3. Pakej W – Korban Kambing : RM590.00 seekor (Pelbagai lokasi)
  4. Pakej X – Korban Kambing di Syria : RM1,100.00 seekor
  5. Pakej Y – Korban Kambing dibekukan :  RM420.00 seekor (Syria, Iraq & Lubnan)
  6. Pakej Z – Korban Kambing ditinkan : RM480.00 seekor (Palestin & Syria)

QKU-Poster

Istimewanya pada tahun ini, kita (Malaysia) menjadi hos kepada 17 keluarga migran Syria yang telah dibawa masuk oleh pihak kerajaan. Aidiladha ini merupakan Aidiladha yang pertama disambut oleh mereka di negara kita setelah sekian lama menjadi pelarian akibat konflik peperangan yang melanda negara mereka. QKU juga akan bersama mereka untuk melaksanakan ibadah korban yang disumbangkan oleh rakyat negara ini.

Antara projek yang sedang dilaksanakan di luar negara, di bawah MyCARE, ialah pembinaan Madrasah di Vietnam. Buat masa ini, Madrasah Darussalam inilah satu-satunya institusi yang dibenarkan oleh kerajaaan Vietnam untuk mengajar pelajaran fardhu ‘ain di Vietnam. Atas sebab ini, kami menjadikannya sebagai projek khas QKU untuk tahun ini. Dengan ini, kami juga sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan bagi membantu usaha pendidikan untuk umat Islam Vietnam.

Akhir kata, saya ingin mengajak seluruh masyarakat Islam untuk bersama-sama membudayakan ibadah korban dalam kehidupan dan bersama-sama memperluaskan kebaikannya. Ambillah peluang dengan memanfaatkan lebihan pendapatan kita, untuk melaksanakan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam ini. Secara tidak langsung kita juga sedang menghulurkan bantuan kepada umat Islam yang sering ternanti-nanti berita gembira setiap kali datangnya Aidiladha.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, sila kunjungi laman web www.ramadhan qurban.oratau hubungi 019-2276760. Penyertaan korban dan aqiqah juga boleh dibuat secara ‘online’, ‘whatsapp’ dan ‘telegram’. Bayaran pula boleh dibuat ke akaun:

Humanitarian Care Malaysia Berhad di Maybank (No.Akaun : 5642 5856 0698) atau Bank Islam (1209 2010 0349 04).

Moga Allah SWT mengganjari dan memberkati segala usaha kita ini dan menjadikan kita antara hambaNya yang diredhai.

Sekian, wassalam.

 

 

Abdul Hafidz bin Hashim

Pengurus

Qurban Kasih Ummah (QKU)