1. Minggu lepas (13 Ogos), UAE mengumumkan keputusan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

2. Keputusan ini diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (US), Donald Trump, yang bertindak sebagai broker.

3. Normalisasi hubungan UAE dan Israel ini menerima kecaman Pihak Berkuasa Palestin (PA), HAMAS, Turki dan Iran. PA menyelar keputusan ini sebagai ‘PENGKHIANATAN KE ATAS BAITULMAQDIS, MASJID AL-AQSA DAN PERJUANGAN PEMBEBASAN PALESTIN.’

4. Mesir, Bahrain dan Oman memuji keputusan ini; bahkan berterima kasih kepada US. Jordan memberi amaran langkah ini hanya mampu menatijahkan keamanan sekiranya Israel bersetuju untuk menamatkan penjajahannya ke atas Tebing Barat dan Gaza.

5. UK, Perancis, Jerman dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyambut baik keputusan ini. Mereka berharap ia akan menghidupkan semula rundingan damai Israel-Palestin dan Penyelesaian Dua-Negara (two-state solution).

𝐍𝐎𝐑𝐌𝐀𝐋𝐈𝐒𝐀𝐒𝐈 𝐀𝐑𝐀𝐁-𝐈𝐒𝐑𝐀𝐄𝐋

6. Keputusan ini menjadikan UAE negara Arab KETIGA yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir (1978) dan Jordan (1994).

7. Mesir menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Perjanjian Camp David 1978. Sebagai balasan, Mesir mendapat kembali wilayah Sinai yang berjaya dikuasai oleh Israel selepas Perang Enam Hari 1967. US juga berjanji akan memberi bantuan ketenteraan bernilai USD1.3 bilion setahun kepada Mesir.

8. Jordan pula menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun 1994. Hubungan ini bagi mengurus pertikaian sempadan dan sumber air antara Jordan dan Israel. Ia juga menyaksikan kerjasama keselamatan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

9. Normalisasi hubungan Arab-Israel adalah perkara yang ‘taboo’ sejak awal penubuhan Israel pada tahun 1948. Negara-negara Arab bahkan pernah berperang dengan Israel pada tahun 1948, 1967 dan 1973.

10. Liga Arab pernah meluluskan Resolusi Khartoum 1967 yang popular dengan slogan “NO PEACE WITH ISRAEL, NO RECOGNITION OF ISRAEL, NO NEGOTIATIONS WITH IT.” Tegas dan jelas.

11. Malangnya ketegasan ini semakin layu. Keputusan terbaru UAE seolah-olah ingin mengatakan normalisasi Arab-Israel tidak lagi dilihat sebagai ‘taboo.’

𝐔𝐀𝐄 𝐊𝐇𝐈𝐀𝐍𝐀𝐓𝐈 𝐏𝐀𝐋𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍

12. Normalisasi hubungan Arab-Israel kembali hangat diperkatakan selepas Trump menjadi Presiden US pada 2017. Trump berjanji untuk berusaha menamatkan konflik Israel-Palestin buat selama-lamanya dengan tawaran terbaik yang belum pernah ditawarkan oleh mana-mana Presiden US sebelum ini.

13. Mac 2017 menyaksikan Liga Arab mengangkat semula ‘Arab Peace Initiative (API) 2002’ sebagai tawaran perdamaian dengan Israel. API menawarkan perdamaian SEMUA negara Arab dengan Israel dengan SYARAT:

• Israel BERUNDUR SEPENUHNYA daripada wilayah yang ia kuasai selepas Perang Arab-Israel 1967 (Tebing Barat, Gaza, Bukit Golan);

• Israel bersetuju dengan PENYELESAIAN YANG ADIL untuk pelarian Palestin sesuai dengan Resolusi PBB 194;

• Israel bersetuju dengan PENUBUHAN NEGARA PALESTIN dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

14. Walau bagaimanapun, tawaran ‘Deal of the Century’ (DotC) Trump yang diumumkan pada Januari 2020 bercanggah dengan ketiga-tiga syarat API. Trump benarkan Israel rampas 30% daripada wilayah Tebing Barat, nafikan bulat-bulat hak pelarian Palestin untuk pulang dan iktiraf rampasan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur; sekaligus mematikan hasrat Palestin untuk menjadikannya sebagai ibu negara Palestin.

15. Jadi tidak pelik apabila pengumuman tersebut DIBOIKOT oleh pemimpin Palestin dan majoriti negara-negara Arab. Tiada pemimpin Palestin yang bersedia dihina dengan ‘tawaran’ sebegitu rupa. Wakil Arab yang hadir hanyalah dari UAE, Bahrain dan Oman.

16. Justeru, keputusan UAE untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel adalah satu PENGKHIANATAN besar kepada Palestin dan MELANGGAR KONSENSUS Liga Arab terhadap penyelesaian konflik Israel-Palestin. Lebih mengecewakan, TIADA SEBARANG SYARAT dikenakan ke atas Israel.

17. Keputusan ini dikatakan bertujuan ‘menghalang’ Israel daripada meneruskan tindakan merampas sebahagian daripada wilayah Tebing Barat secara unilateral, seperti yang Netanyahu umumkan dan Trump luluskan melalui DotC.

18. Tapi, adalah satu kesilapan besar untuk membalas ancaman Israel dengan hadiah normalisasi. Ancaman pelanggaran undang-undang antarabangsa sepatutnya dibalas dengan HUKUMAN; BUKAN GANJARAN.

19. Hakikat sebenarnya, UAE mahu mengaut keuntungan peribadi dalam aspek ‘investment, tourism, direct flights, security, telecommunications, technology, energy, healthcare, culture, the environment, the establishment of reciprocal embassies and other areas of mutual benefit’ seperti yang disenaraikan dalam teks pengumuman tersebut.

20. Bagi Trump dan Netanyahu, ini adalah ‘kejayaan’ dan ‘pencapaian bersejarah’ yang mereka perlukan untuk menutup kegagalan DotC dan buat modal untuk pilihanraya tidak lama lagi.

Khalid bin Jimat
Palestine Centre of Excellence (PACE)