Hari ini, 66 tahun yang lalu, menyaksikan pemergian seorang pejuang kemerdekaan Palestin, Abd Qadir al-Husayni yang telah menyerahkan segala kudratnya untuk umat ini.

Ya untuk umat ini.

Beliau dilahirkan di bumi barakah Baitul Makdis pada tahun 1907 dalam keluarga yang terhormat dan mahsyur di Palestin, keluarga al-Husayni. Dari keluarga inilah lahirnya al-Haj Amin Husayni yang merupakan mufti besar Baitul Maqdis di zaman penjajahan British di Palestin. al-Haj Amin adalah sepupu kepada Abd Qadir.

Abd Qadir dilahirkan ketika dunia Islam berada dalam kekacauan. Seawal umurnya 12 tahun, Palestin telah dijajah oleh British selepas Kerajaan Khilafah Uthmaniyah tewas dalam Perang Dunia Pertama. Namun, sebagai ahli kepada keluarga ternama di Baitul Makdis, beliau tidak boleh sekadar berpeluk tubuh menyaksikan masyarakatnya terus dijajah oleh warga asing. Lalu, bermulalah kehidupan beliau sebagai pejuang kemerdekaan Palestin seawal umur 13 tahun dengan menyertai demonstrasi aman menentang penjajahan British.

Selepas menamatkan pengajian peringkat sekolah menengah di Sekolah Rawdat Al-Ma’aref, beliau telah melanjutkan pengajian di American University of Beirut, Lubnan. Namun, penglibatan aktif beliau dalam politik telah menyebabkan beliau digugurkan daripada universiti selepas setahun pengajian.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Kaherah, Mesir untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kimia di Fakulti Sains di American University of Cairo. Kali ini beliau bertindak lebih bijak. Beliau hanya menzahirkan penentangannya kepada penjajah semasa hari graduasinya. Akibatnya, beliau telah dihantar pulang semula ke Palestin.

Kepulangannya sebagai anak muda (25 tahun) yang kini lebih matang tidak mempunyai misi lain selain berbakti kepada Palestin. Kemampuannya menulis dengan baik telah melayakkan beliau dilantik sebagai ketua editor untuk akhbar Al-Liwa’ dan kemudiannya Al-Jami’a Al-Islamiyya. Ketokohan beliau juga telah menyebabkan Parti Arab Palestin melantik beliau sebagai Setiusaha parti itu.

Keprihatinan beliau terhadap nasib pegawai Arab Palestin yang berkhidmat di bawah kerajaan Mandat British telah memberikan beliau kekuatan untuk menubuhkan Kongres Muslim Terpelajar menentang amalan diskriminasi British terhadap pegawai berbangsa Arab Palestin. Bagi melemahkan pergerakan beliau, British telah ‘berbesar hati’ menganugerahkannya jawatan sebagai Pegawai di Jabatan Tanah Mandat Palestin. Beliau dengan senang hati menerima tawaran British tersebut tetapi bukan untuk mengkhianati perjuangan pembebasan Palestin. Beliau telah menggunakan jawatannya untuk membina perhubungan dengan banyak pihak di Palestin yang akhirnya berjaya membentuk satu kumpulan jihad yang diberi nama Munathamat al-Jihad al-Muqaddas.

Justeru, apabila sepupunya, al-Haj Amin Husayni, juga Mufti Besar Baitul Makdis menyeru kepada Kebangkitan Arab Palestin* pada tahun 1936, beliau dengan senang hati melepaskan jawatannya sebagai pegawai dalam kerajaan Mandat British dan turut sama berjuang bersama-sama melalui kumpulan jihad yang ditubuhkannya.

Malangnya dalam Perang Bani Na’im (1936) berhampiran dengan Hebron, beliau telah mengalami cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke Damsyik (Syria) untuk mendapatkan rawatan. Beliau kemudian dipindahkan ke Jerman bagi memastikan beliau pulih sepenuhnya.

Namun, jiwa pejuangnya tidak lali hidup di negara asing.

Selepas 6 bulan berehat di Jerman, beliau telah kembali semula ke Baitul Makdis untuk menyertai semula perang yang masih berlangsung. Walau bagaimanapun, dalam Operasi Ein Kerem (1939) beliau sekali lagi mengalami cedera parah dan terpaksa diselamatkan. Kali ini beliau telah dihantar ke Iraq pula.

Di kejauhan sana, beliau menerima berita sedih tentang kejayaan British membanteras Kebangkitan Arab Palestin dan sepupunya, al-Haj Amin Husayni telah dipaksa hidup dalam buangan di Lebanon. Justeru, beliau mengambil keputusan untuk menetap sebentar di Iraq dan menjadi guru Matematik di Sekolah Tentera ar-Rashid, Baghdad.

Namun, apabila rakyat Iraq cuba bangkit menjatuhkan rejim Abdullah Ali** yang cenderung menyokong polisi-polisi British di wilayah itu, beliau telah turut serta dalam kebangkitan rakyat Iraq yang beliau anggap sebagai saudara. Campur-tangan British dalam kebangkitan rakyat Iraq ini telah memaksa beliau berundur ke Turki. Malangnya, jejak beliau di Turki berjaya dikesan oleh pihak berkuasa dan beliau telah dibuang ke Zakho, perkampungan di utara Iraq manakala isterinya dikenakan tahanan rumah di Baghdad.

Namun, tiada siapa tahu untung nasib manusia.

Selepas 20 bulan hidup dalam buangan (1943), beliau telah dibebaskan hasil campur-tangan Raja Abdul Aziz Al-Saud. Barangkali ketokohan beliau dirasakan tidak wajar dibiarkan terpinggir dan sia-sia di ceruk kampung di utara Iraq itu. Selepas dibebaskan, beliau telah berhijrah ke Arab Saudi dan kemudiannya ke Mesir (1946).

Di Mesir, beliau telah mendesak Liga Arab yang baru ditubuhkan untuk membekalkannya senjata api untuk beliau berjihad menentang Zionis Israel di Palestin. Beliau ingin kembali semula ke medan perjuangan yang sangat beliau rindui. Malangnya, hasrat beliau tidak direstui.

Tetapi apabila PBB mengisytiharkan Pelan Pembahagian Tanah Palestin pada November 1947 melalui Resolusi 181, beliau telah nekad untuk menentang keputusan ini walaupun nyawa beliau menjadi galang gantinya.

Beliau menyahut seruan sepupunya al-Haj Amin Husayni untuk melancarkan jihad dan bergerak mengumpulkan para mujahidin Palestin. Beliau menghidupkan semula kumpulan Jaysh al-Jihad al-Muqaddas dan bergerak menuju Baitul Makdis, bumi kelahirannya.

Apabila kumpulan militan Zionis Yahudi melancarkan Operasi Nachshon untuk membuka laluan masuk ke Baitul Makdis, mereka telah menjadikan Bukit Qastal sebagai sasaran strategik mereka. Menyedari bahaya yang bakal menimpa umat Islam di Baitul Makdis, Abd Qadir telah mengetuai 100 orang perajuritnya dalam operasi merampas kembali Bukit Qastal.

Malangnya dalam operasi ini, beliau telah gugur syahid dalam suasana kabus tebal di Bukit Qastal; bagai meratapi pemergiannya. Beliau telah pergi menyambut seruan Ilahi pada malam 8 April 1948 meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak lelaki bagi meneruskan legasi perjuangannya. Jasad beliau telah disemadikan di kawasan perkuburan Masjid Al-Aqsa.

Kesyahidan beliau telah melemahkan pergerakan mujahidin Jaysh al-Jihad al-Muqaddas sehinggalah tentera Zionis Israel berjaya mengisytiharkan penubuhan negara mereka pada bulan berikutnya, 14 Mei 1948.

Seandainya beliau berjaya mempertahankan Bukit Qastal, bagaimana agaknya wajah Palestin pada hari ini?

* Kebangkitan Arab Palestin telah bertahan selama 3 tahun dari 1936 hingga 1939.
** Abdullah Ali adalah cucu kepada Sharif Hussein bin Ali, Emir Mekah yang telah membantu British membangkitkan semangat kebangsaan Arab menentang Kerajaan Khalifah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Keturunan Sharif Hussein yang menjadi pemerintah negara Arab seperti di Iraq dan Jordan semuanya cenderung meneruskan polisi beliau menjalinkan hubungan baik dengan British.