Hari Ini Dalam Sejarah | 22 Mac 2004 | As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin

Beliau merupakan seorang lelaki yang bercita-cita meraih hanya keredhaan Allah.
Beliau merupakan seorang alim yang membuktikan ilmunya dengan amal.
Beliau merupakan seorang tua yang lumpuh seluruh badannya yang tidak sedikit pun mengeluh keadaannya.
Beliau adalah seorang tua lumpuh yang tidak dapat berjalan, amat digeruni oleh kawan dan lawan.
Beliau merupakan seorang mujahid yang berpegang teguh pada pendiriannya, yakin terhadap janji-janji Tuhannya.
Beliau adalah As-Syahid Syeikh Ahmad Ismail Yassin yang merupakan lagenda perjuangan rakyat Palestin yang telah membuktikan cintanya kepada perjuangan melebihi segalanya, yang seterusnya menjadi diantara pelopor perjuangan Intifada dalam menentang penjajah Zionis.
Syeikh Ahmad Yassin lahir pada tahun 1936, di sebuah perkampungan bernama Al-Jurah, daerah Majdal dalam wilayah Asqalan (Ashkelon). Hidup dalam keluarga yang berpegang kuat dalam beragama dan amat sederhana. Ayahnya meninggalkan dunia ketika beliau berumur tidak sampai 5 tahun.
Pada tahun 1948, semasa pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, beliau dan keluarga terpaksa behijrah ke Semenanjung Gaza. Di sana kehidupan keluarganya berubah sepertimana kehidupan pelarian-pelarian yang lain yang terpaksa menempuhi kesulitan hidup berlapar dan dahaga. Beliau terpaksa menagguhkan pelajarannya selama setahun bagi menampung keluarganya dengan bekerja di sebuah restoran di Semenanjung Gaza. Selepas setahun, beliau kembali melanjutkan pembelajarannya.
Membesar sebagai pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, beliau disayangi oleh guru-gurunya semasa berada di sekolah. Beliau merupakan seorang murid yang aktif bersukan di zaman persekolahannya. Pada usia beliau 16 tahun, beliau ditimpa kemalangan akibat terjatuh semasa bermain dengan rakan-rakannya di persisiran pantai Gaza ketika itu. Akibatnya beliau lumpuh pada bahagian kaki menyebabkan beliau terpaksa menanggung penderitaan tersebut seumur hidup sehingga akhir hayat beliau.
Keadaan beliau yang lumpuh tidak menghalang beliau meneruskan pembelajarannya serta terlibat aktif dalam amal-amal Islami. Pada tahun 1964, beliau melanjutkan pengajiannya di university Ain Shams di Kaherah dalam jurusan Bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, tidak sampai setahun dalam pengajian, beliau telah ditangkap oleh Pihak Berkuasa Mesir kerana dituduh terlibat dengan pergerakan Ikhwan al-Muslimin serta bergiat aktif menyertai demonstrasi-demonstrasi jalanan, terutamanya ketika berlakunya serangan 3 serangkai yang dilakukan oleh British, Perancis dan Israel terhadap Mesir pada tahun 1956.
Kepulangannya ke Gaza meyaksikan beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru Bahasa Arab dan juga khatib bagi masjid-masjid sekitar Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau menjadi terkenal dalam kalang penduduk Gaza. Bakat kepimpinan beliau semakin terserlah selepas beliau dan rakan-rakannya berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin dan diberi nama Mujamma Al-Islam (Akademi Islam)pada tahun 1973. Pada tahun 1978 pula beliau bersama-sama rakannya mendirikan Universiti Islam Gaza.
Pada tahun 1983 semasa menjawat jawatan Pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau ditangkap dan dipenjarakan oleh rejim Zionis atas tuduhan memiliki senjata api dan cuba menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui Mahkamah Tentera Israel. Namun pada tahun 1985 beliau dibebaskan dalam satu proses pertukaran tawanan antara pihak PLO dan rejim Zionis.
Ketika berlaku pergolakan Intifadah pertama pada tahun 1987, beliau dan rakan-rakannya dalam pergerakan Ikhwan Muslimin menubuhkan gerakan pembebasan Islam dikenali sebagai HAMAS yang bergerak dengan corak penentangan yang baru dengan mengadakan demonstrasi jalanan serta pertempuran secara bersemuka dengan tentera Zionis Israel . Ini kerana negara-negara arab yang lain tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, begitu juga gerakan PLO yang semakin bersikap lunak dengan rejim Zionis Israel.
Sebagai natijahnya, pada Ogos 1988, pihak tentera Zionis merobohkan rumah beliau dan membuangnya ke sempadan Lubnan. Tidak cukup dengan itu pada 17 Mei 1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan Hamas yang lain dipenjarakan kerana berjaya melancarkan operasi-operasi membunuh tentera Zionis dan komando mereka.
Pada 16 Oktober 1991, Mahkamah Tentera Israel menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yasin atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. Kesan daripada tahanan tersebut, beliau mengalami lumpuh seluruh badan kecuali kepala sahaja. Beliau juga mengalami hilang penglihatan mata di sebelah kanan dan kekaburan disebelah kirinya selain masalah pendengaran akibat tekanan serta seksaan yang dikenakan ke atas beliau.
Pada 13 Disember 1992, sekumpulan komando Briged Izzuddin Al-Qassam yang merupakan sayap ketenteraan Hamas berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan Hamas lain yang sakit dan berumur. Walaubagaimanapun tentera Zionis Israel menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tentera mereka ditawan dengan harapan membebaskannya. Percubaan mereka ternyata gagal, dengan terbunuhnya tentera Zionis yang diculik tersebut di samping tiga orang pejuang Al-Qassam syahid di tempat kejadian.
Pada 25 September 1997, satu percubaan membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Mish’al yang berlaku di Amman, Jordan. Percubaan membunuh tersebut dilakukan oleh 5 orang perisikan Zionis Israel (Mossad) yang menyamar sebagai pelancong daripada Kanada. Percubaan tersebut berjaya dipatahkan oleh pengiring Khalid Mish’al ketika itu serta berjaya memberkas 2 orang daripada mereka dan diserahkan kepada pihak keselamatan Jordan. Hasil daripada kejadian tersebut, Raja Jordan iaitu Raja Hussin menawarkan rundingan pertukaran tawanan dengan rejim Zionis dengan membebaskan Syeikh Ahmad Yassin yang berlaku pada 1 Oktober 1997. Pihak Zionis telah bersetuju dengan tawaran tersebut dan Syeikh Ahmad Yassin berjaya dibebaskan.
Sejurus selepas pembebasannya, Syeikh Ahmad Yassin kembali giat memainkan peranan beliau sebagai pemimpin agama bagi gerakan Hamas yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin. September tahun 2000 menyaksikan tercetusnya Intifadah ke-2 selepas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon menodai Masjid Al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin berjaya membangkitkan semangat rakyat Palestin upaya berjuang menentang kegilaan rejim Zionis.
Ternyata sekali lagi Zionis Israel terpaksa menghadapi gelombang kebangkitan Intifadah yang dikatakan paling teruk dalam tempoh 50 tahun sejak penubuhan negara Israel. Penentangan berlaku setiap hari tanpa menunjukkan tanda-tanda menyerah kalah. Bagi mengekang kemaraan rakyat Palestin, tentera Zionis mengambil tindakan dengan menyerang bandar-bandar, membunuh orang awam, membina tembok-tembok pemisah serta membunuh beberapa orang pemimpin Hamas dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter, dan kereta-kereta kebal. Pada 6 September 2003, tentera Zionis Israel membedil sebuah pangsapuri di Gaza dimana Syeikh Ahmad Yassin dan Ismael Haniyyah berada. Beliau terselamat dalam percubaan membunuh tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya.
Namun pada Subuh 22 Mac 2004 yang hening di Jalur Gaza, seusai menunaikan solat Subuh berjamaah di masjid, Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa orang pengiringnya berjalan pulang ke rumah telah dijemput dengan 3 peluru berpandu Hellfire daripada helikopter Apache AH-64 tepat ke arah mereka.
Serangan tersebut telah mengorbankan Syeikh Ahmad Yassin serta tujuh orang yang lainnya. Takdir telah menetapkan roket-roket Zionis telah menjadi bukti kesyahidan serta kebenaran cinta Syeikh Ahmad Yassin kepada Jihad dan perjuangan membebaskan Palestin. Syeikh Ahmad Yassin telah membuktikan cintanya dengan kepingan-kepingan tubuh yang hancur yang seterusnya tumbuh memekarkan bunga-bunga jihad dan perjuangan dalam jiwa anak-anak Palestin.
Di antara mutiara kata beliau:
“Saya seorang manusia yang hidup dengan harapan yang satu. Harapanku agar Allah SWT meredhai-ku.”
“Musuh Zionis Israel tidak memberi apa-apa pilihan pun pada rakyat Palestin kecuali hanya satu pilihan. Ia adalah perlawanan, jihad dan syahid.”
“Musuh meminta kita supaya menghentikan perlawanan, tetapi kita bertanya kehairanan, kenapa dunia tidak meminta menghentikan penjajahan Zionis Israel? Siapa yang sebenarnya harus berhenti? Orang yang mempertahankan dirinya (tanahnya) atau orang yang menjajah?”
“Tidak boleh sedikitpun kami mengiktiraf Israel yang menodai tanah kami, hak-hak kami, negara kami dan sejarah kami.”
”Di sana tiada satu asas perkauman pun yang dapat menyatukan antara rakyat Israel dan Palestin dalam lingkungan negara yang satu. Palestin adalah negara Islam yang tidak mungkin seorangpun berhak menafikannya.”
“Yakinlah wahai anak-anak bangsaku, sesungguhnya kita berjuang demi meraih kemaslahatan negara pada kamu. Sekiranya kemaslahatan itu dengan memberi genjatan senjata kepada musuh, maka kita akan memberikannya, tetapi sekiranya kemaslahatan itu dengan meneruskan jalan perlawanan, maka kita akan terus menyempurnakan perjalanan ini.”
Rujukan:
https://hamas.ps/
http://www.aljazeera.net/

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

Program Baju Raya Untuk Dia 2024

Kian Berlabuh Tirai Ramadan, Lambaian Syawal Kian Dinanti, Luhur Hati Ikhlas Kemaafan, Semoga Kesalahan Diri Dimaafi.   Berbaju Baru Terasa Ceria, Cantik Dipakai Di Hari