Alhamdulillah, di tengah-tengah kesibukan mengurus bantuan Covid-19 di dalam negara, MyCARE masih dapat meneruskan peranan hakiki kami, iaitu menyalurkan bantuan kemanusiaan ke luar negara Ramadan ini khususnya ke Palestin.

Rakyat Palestin menerima kesan berganda akibat Covid-19. Sudahlah hidup mereka tersepit di bawah penjajahan Zionis Israel, kini mereka terpaksa berdepan pula dengan wabak Covid-19 dalam keadaan serba kekurangan. Tambah membimbangkan, dunia terlalu sibuk mengendalikan Covid-19 sehingga terlupa tentang nasib mereka.

Untuk pastikan mereka tidak dilupakan, MyCARE telah melancarkan kempen MyRamadan. Ini kempen kami yang ke-10 sejak MyCARE ditubuhkan pada tahun 2010.

Awalnya kami bimbang juga untuk lancarkan kempen ini. Kami tahu rakyat Malaysia juga tersepit menghadapi Covid-19. Pastinya ramai yang lebih selesa menyimpan untuk kegunaan sendiri di masa hadapan.

Tapi kami yakin ada yang masih bersedia berkongsi rezeki walaupun sedikit. Sikit-sikit, kalau ramai besar juga nanti jumlahnya.

Tambahan, kami percaya Ramadan ‘will bring the best out of us.’ Berkongsi rezeki di saat sukar pastinya lebih besar maknanya.

Jadi kami teruskan juga dengan kempen MyRamadan. Kami katakan kepada sahabat-sahabat di Palestin yang menanti dengan penuh harapan, apa yang kami terima, kami akan salurkan dengan seberapa segera. “We will do our very best, insyaAllah.”

***

Jadi bagaimana MyCARE uruskan bantuan Ramadan ke Palestin? Ini yang kami lakukan:

1. PILIH LOKASI

Bantuan ke Palestin tahun ini kami bahagikan kepada EMPAT iaitu ke (1) Gaza, (2) Baitulmaqdis, (3) Tebing Barat dan (4) kem pelarian Palestin di Lubnan.

2. TENTUKAN PELAKSANA

Bantuan ke Gaza diuruskan melalui pejabat kami di sana. Pejabat ini kami tubuhkan sejak tahun 2013 lagi. MyCARE ada tiga orang staf sepenuh masa yang menguruskan projek-projek kami di sana.

Untuk bantuan ke Baitulmaqdis, Tebing Barat dan kem pelarian di Lubnan, kami bekerjasama dengan NGO antarabangsa yang mempunyai akses di sana.

Di Baitulmaqdis kami bekerjasama dengan Ihya Miras. Di Tebing Barat dengan Sebil. Di Lubnan dengan Humanitarian Relief for Development (HRD).

Kerjasama ini dimeterai secara rasmi melalui memorandum persefahaman MoU. Fuh, NGO pun ada MoU? Ada bang, duit amanah ni. Bukan sikit. Ratus-ratus ribu ni.

3. LETAK SASARAN & KUMPUL DANA

Pada tahun-tahun sebelum ini, sumbangan MyCARE untuk Palestin pada bulan Ramadan pernah mencecah sehingga RM3.5 juta.

Waktu gawat ini, kalau dapat sampaikan RM1 juta pun kami dah sujud syukur. Paling tidak, ada sesuatu untuk mereka Ramadan ini.

Dah letak target, langkah seterusnya ialah pulun cari duit. Boleh dapat tak ni? Usaha, doa dan tawakal.

4. SALURKAN DANA

Alhamdulillah, beberapa minggu sebelum Ramadan kami terima sejumlah dana daripada AusRelief, sebuah NGO di Australia untuk agihan Ramadan di Gaza. Ini tahun ketiga kerjasama kami dengan AusRelief.

Ditambah dengan sumbangan awal MyRamadan dan sedikit dana daripada tabung umum MyCARE, kami berjaya salurkan $96,000 atau RM414,000 untuk bantuan fasa pertama ke Palestin.

Sebelum ini timbul fitnah sumbangan rakyat Malaysia ke Palestin tak sampai. Macam mana boleh salurkan duit ke Palestin? Ada bank ke di sana?

Ya, di Palestin ada bank. Bank of Palestine dan Quds Bank adalah dua bank di Palestin yang boleh terima dana dari luar negara. Sebagai pertubuhan rasmi yang berdaftar di Palestin, MyCARE mempunyai akaun di Palestin untuk tujuan ini.

Tapi masih ada orang pertikai: “Saya pernah cuba hantar duit ke Palestin melalui TT (telegraphic transfer) tapi tak lepas. Kena reject. Macam mana NGO boleh lepas? Saya hantar sikit pun tak lepas!”

Tipulah kalau kami kata duit yang kami hantar ke Palestin sentiasa lepas dan tak pernah kena reject. Duit yang kami salurkan memang pernah kena tolak atau ditahan untuk beberapa waktu sebelum dilepaskan oleh bank perantara (intermediary bank).

Ini lumrah dan cabaran yang kami perlu hadap. Tapi perjuangan tetap perlu diteruskan. Tak lepas kali pertama, kami cuba kali kedua, ketiga. Tak lepas di Bank of Palestine kami cuba melalui Quds Bank pula.

5. PEROLEHAN & LOGISTIK

Penghantaran wang hanyalah sebahagian daripada proses penyaluran bantuan. Yang paling mencabar ialah proses untuk mendapatkan bekalan barang-barang yang ingin disalurkan dan pengurusan logistiknya.

Paling mencabar sekali ialah di Gaza; wilayah yang dikepung dan dikenakan sekatan oleh Zionis Israel sejak tahun 2007. Dah masuk 13 tahun.

Untuk mendapatkan dan membawa masuk bekalan barang-barang dalam kuantiti yang besar ke dalam Gaza adalah satu proses yang rumit dan panjang. Pelbagai dokumentasi perlu disediakan dan sesi rundingan perlu dijalankan. Justeru, proses ini dijalankan beberapa bulan lebih awal menggunakan anggaran terbaik (best estimate).

Zionis Israel tak akan sesekali membenarkan barang-barang dibawa masuk ke Gaza tanpa melalui pemeriksaan terperinci. Mereka sangat takut NGO kemanusiaan digunakan untuk seludup masuk senjata ke dalam Gaza. Paranoid sungguh.

Dalam banyak kes, kami perlu berurusan dengan lebih daripada 3 pembekal untuk memastikan barang yang dibawa masuk mencukupi dan menepati kualiti yang dikehendaki.

Kami juga amalkan sistem tender terbuka bagi mendapatkan harga yang berpatutan daripada pembekal. Sifirnya mudah. Lagi banyak yang kami dapat jimat, lagi ramai yang akan mendapat manfaat.

Alhamdulillah sebahagian besar pembekal bersedia untuk membekalkan barang-barang terlebih dahulu sebelum menerima apa-apa bayaran. Kredibiliti dan prestasi MyCARE di Gaza pada tahun-tahun sebelum ini banyak membantu melicinkan proses ini.

Covid-19 merencatkan sedikit proses ini kerana negara-negara pembekal ingin mengutamakan bekalan dalam negara masing-masing. Tapi alhamdulillah akhirnya kami berjaya peroleh barang-barang yang dikehendaki.

6. PEMBUNGKUSAN DAN AGIHAN

Selepas barang-barang berjaya diperoleh, proses seterusnya ialah membungkus dan mengagihkan barang-barang. Proses ini memerlukan ramai tenaga kerja. Alhamdulillah orang-orang Gaza sentiasa bersedia untuk membantu secara sukarela.

Sebahagian besar yang menjadi sukarelawan adalah dari kalangan mereka yang pernah menerima bantuan daripada MyCARE sama ada bantuan pendidikan, kesihatan, sara hidup (keluarga miskin dan anak yatim) dan bantuan sosioekonomi (eg. pinjaman qardul hasan, projek pertanian dll). Mereka tidak keberatan untuk membantu MyCARE selepas mereka dibantu.

***

Nah, inilah serba sedikit kisah bagaimana MyCARE uruskan sumbangan anda Ramadan ini. It is always a hard work, at times almost impossible. But we still manage to beat the odds.

Doakan kami supaya bantuan fasa kedua dapat berjalan dengan lancar sebelum akhir Ramadan.

Kepada yang ingin menyumbang, insya Allah MyCARE masih terima sumbangan sehingga 30 Ramadan. Boleh KLIK DI SINI

https://donate.mycare.org.my/c/myramadan

LINK ALTERNATIF (jika link ‘loading’ terlalu lama atau ‘errror’)

https://www.billplz.com/myramadan

Sudi-sudi jugalah kiranya untuk kongsikan LINK SUMBANGAN ini kepada rakan-rakan yang lain agar lebih ramai rakyat Palestin mendapat bantuan.

Semoga dengan sumbangan ini, Allah SWT akan keluarkan kita daripada wabak Covid-19 ini dalam keadaan yang terbaik. Ameen.

Rasulullah SAW pernah berkata: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

– Khalid Jimat,
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)