Terbaru, Presiden Trump diiringi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan pelan damai Israel-Palestin yang dicanang-canang oleh beliau selama ini sebagai ‘Tawaran Terhebat Abad Ini’ (Deal of the Century).

Pelan 181 muka surat dengan tajuk ‘Peace to Prosperity: A Vision to Improve the Lives of the Palestinian and Israeli People’ (Perdamaian untuk Kemakmuran: Visi untuk Memperbaiki Kehidupan Rakyat Palestin dan Israel) ternyata sebuah tawaran yang hebat untuk Israel tetapi bukan untuk rakyat Palestin.

Ia adalah pelan untuk memaksa rakyat Palestin untuk menyerah diri dan menerima apartheid Israel.

Pelan Trump ialah memecahkan wilayah Palestin di Tebing Barat, mengelilingi wilayah ini dengan wilayah Israel, menyerahkan kawalan keselamatan wilayah Palestin sepenuhnya kepada Israel, dan hanya menyerahkan pemerintahan wilayah Palestin kepada rakyat Palestin sekiranya Israel bersetuju.

Pelan ini jelas tidak masuk akal. Tiada rakyat Palestin yang akan bersedia merendahkan maruahnya untuk menerima pelan ini.

Pelan ini sebenarnya telah pun ditolak lebih awal oleh Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas. Tetapi ia tetap diumumkan semalam sebagai wayang politik Trump-Netanyahu. Pelan ini diumumkan pada hari yang sama Netanyahu didakwa oleh Peguam Negara Israel atas tuduhan rasuah dan menjelang pilihanraya Israel pada bulan Mac dan pilihanraya presiden Amerika Syarikat November nanti.

MyCARE mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Zionis Israel ke atas rakyat Palestin dan menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai inisiatif sama ada perhimpunan aman, memorandum bantahan dan pemerkasaan kempen boikot Israel.

MyCARE menyeru AS menghentikan sokongan membuta-tuli kepada rejim Zionis Israel dan mengambil sikap lebih kritikal ke atas jenayah dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel.

MyCARE menolak dan mengecam sekeras-kerasnya pelan ini dan menyeru semua pihak berusaha memastikan wewenang Israel dan Trump ini dihentikan serta merta.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)