JOHOR BAHRU, 12 Oktober 2019 – Jutaan terima kasih kepada anak-anak serta seluruh warga Tadika dan Taska IMAN di atas usaha murni yang kini telah masuk tahun Ke-3.

Cek contoh sumbangan telah diserahkan di dalam Majlis “Grand Ihtifal Iman 2019” bertempat di Auditorium RTM baru-baru ini. Majlis telah disempurnakan oleh En. Abd Rahim bin Lamin, Timbalan Pengarah Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Penyampaian cek cura bernilai RM80 ribu itu adalah simbolik sumbangan untuk disalurkan kepada 44 anak yatim Palestin.

Manakala RM21,000 lagi merupakan sumbangan yang dikumpulkan sepanjang Ramadhan akan disalurkan ke Tabung Palestin, Syria dan Rohingya.

Menerusi Projek “CARE4YATEEM” dan “Masih Ada yang Sayang” yang dilancarkan sejak tahun 2017 ini memberi peluang kepada anak-anak dari 23 rangkaian tadika IMAN seluruh Johor untuk membantu anak-anak yatim serta insan lain yang memerlukan.

Ini secara tidak langsung menggambarkan nilai murni mampu diterapkan kepada anak awal usia sejajar dengan Moto “Where Good Values Begin”.