Selepas kejayaan Misi 1 dan 2 oleh MyCARE membantu mangsa gempa dan tsunami di Palu dan Donggala, misi kali ini diteruskan dengan kerjasama syarikat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. atau lebih dikenali dengan Upin & Ipin

Upin dan Ipin merupakan program yang sangat diminati kanak-kanak bahkan warga dewasa di Indonesia. Sehubungan dengan itu selepas misi 1 kami telah bertemu dengan Hj Burhan, Pengarah Urusan Les’ Copaque dan beliau bersetuju bahkan memberikan sokongan penuh kepada misi kali ini.

Fokus utama misi kali ini adalah program psaikososial dan ‘trauma healing’ kepada kanak-kanak di 3 daerah utama iaitu Sigi, Donggala Utara dan Donggala Selatan.

Pelbagai program telah dirancang antaranya aktiviti melukis, mewarna dan penampilan istimewa maskot Upin dan Ipin serta penyampaian Pek Ceria berupa barangan Upin dan Ipin.

Turut bersama misi kali ini adalah 2 orang wakil dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan seorang dari IKRAM Health.

Selain program bersama kanak-kanak, misi kali ini juga akan menyalurkan 400 pek makanan kepada lebih 2,000 penerima manfaat di 2 buah kampung yang terjejas teruk akibat gempa dan tsunami.

Misi kali ini juga dibantu oleh NGO IMARET, BSMI (Bulan Sabit Merah Indonesia), MNCTV dan rakan NGO kami di Indonesia iaitu PKPU Human Initiative.

Pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyumbang ke Tabung Gempa Tsunami Sulawesi.

Anda boleh terus menyumbang secara online di sini: www.billplz.com/tsunamisulawesi

Terima kasih!

Tn Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar
Ketua Pegawai Eksekutif
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)