Tahukah anda, setiap 10 minit seorang kanak-kanak terkorban di Yaman akibat kebuluran?

Ya. Isu Yaman kurang mendapat perhatian di mata dunia menyebabkan keadaan orang awam di sana bertambah parah dari hari ke hari.

Dalam satu kajian bersama Integrated Food Security Phase Classification (IPC) menunjukkan seramai 11 JUTA penduduk Yaman dikategorikan dalam Fasa ke-3 daripada 5 FASA KEBULURAN.

5 JUTA pula berada dalam situasi “EMERGENCY”, iaitu Fasa 4, manakala 65,000 orang berada dalam FASA 5, fasa yang paling tinggi yang dikenali sebagai situasi “CATASTROPHE”.

Atas keprihatinan bersama, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) membuka peluang kepada orang ramai untuk sama-sama membantu penduduk Yaman dengan melancarkan Tabung Kecemasan Yaman.

Untuk pertama kalinya, MyCARE telah menyusun satu misi kemanusiaan setelah beberapa tahun menyalurkan sumbangan melalui rakan NGO kami.

Misi Kecemasan Yaman diwakili oleh Pengurus Projek MyCARE, Ustaz Noorsyazly Rameli dan Pengurus MyCARE Kedah, En. Abdul Wahab Yahya bermula pada 17 Januari 2019 bagi menyalurkan terus sumbangan rakyat Malaysia dengan kerjasama NGO tempatan, Charitable Society For Social Welfare (CSSW).

Ahli-ahli misi dibawa melawat ke Pusat Pembangunan Wanita & Kanak-kanak di bawah CSSW di Seiyun dan mendapatkan info secara terus dari penduduk Yaman di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Ma’rib yang memakan masa 8 jam dan melalui lebih daripada 20 checkpoint tentera pada hari pertama misi.

Penyaluran pertama telah dilaksanakan pada hari kedua misi di Internally Displaced Person (IDPs) di pinggir Bandar Ma’rib. Ahli misi telah menyampaikan bantuan dalam bentuk pek makanan kepada 110 buah keluarga.

Pek makanan ini mengandungi makanan asas iaitu tepung (25kg), beras (10kg), gula (10kg), pes tomato (70 pek), kacang fasolia (12 tin) dan minyak (1.8liter).

Ahli-ahli misi telah mengambil inisiatif untuk menghantar bantuan ke rumah sebuah keluarga, Abu Ali yang terletak 15 minit di luar Bandar Ma’rib.

Beliau tinggal di rumah yang diperbuat daripada kanvas dan zink bersama isteri dan 4 orang anaknya sejak tahun 2017. Beliau tidak dapat hadir ke tempat penyaluran sumbangan kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Menurut rakan NGO kami, terdapat lebih daripada 1.5 juta orang pelarian di Bandar Ma’rib yang rata-ratanya bekerja sendiri, menjadi buruh, petani atau pengemis. Rata-rata yang menjadi pelarian di sini sejak 3 tahun lalu sehingga 6 bulan lalu.

Penyaluran seterusnya diadakan bandar Jawf. Sebanyak 100 pek makanan telah disalurkan kepada pelarian-pelarian yang tinggal di sekitar bandar ini.

Sumbangan Pek Makanan telah disampaikan kepada 75 buah keluarga dan 25 pek makanan lagi dihantar ke khemah-khemah di daerah Mutoon kerana mereka tidak mempunyai kenderaan untuk ke tempat penyaluran sumbangan.

Pada 21 Januari 2019, ahli-ahli misi memulakan aktiviti penyaluran di Mukhayyam Mil.

Sebanyak 100 set pek makanan dan 5 buah lori bekalan air bersih telah disalurkan ke penempatan ini. Bekalan air bersih ini mampu menampung 15 tangki air selama 3 hari untuk kegunaan 80 buah keluarga.

Ahli-ahli misi sempat menziarahi seorang penerima manfaat yang dikenali sebagai Ali Muqbil. Ali kehilangan anaknya yang sudah bertunang dan bakal melangsungkan majlis perkahwinannya pada bulan ini. Beliau sekeluarga menjadi penghuni kem pelarian ini sejak pertengahan tahun 2017.

Lagi gambar-gambar di album MyCARE

Aktiviti diteruskan dengan penyaluran 74 set pek makanan kepada IDPs dari Mahweet di lapangan Sekolah Iqra, di bandar Ma’rib.

Dalam semua penyampaian pek makanan, setiap penerima manfaat perlu mengemukakan kupon dan menurunkan cap jari.

Sebelum menutup tirai misi kemanusiaan Yaman, ahli-ahli misi dibawa menziarahi Pusat Khidmat IDPs milik CSSW yang berperanan memantau keadaan dan hal-ehwal di Ma’rib. Antara khidmat yang ditawarkan adalah kesihatan, psikososial, kaunseling, bantuan undang-undang, bantuan tunai, penjagaan anak-anak yatim, latihan dan pengumpulan data dan maklumat. CSSW telah menyantuni lebih 140,000 pelarian dari 4 daerah di Ma’rib sejak tahun 2015.

Pihak MyCARE mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH kepada para penyumbang yang telah menyalurkan sumbangan melalui MyCARE dalam Tabung Kecemasan Yaman.

Semoga Allah senantiasa merahmati tuan/puan sekeluarga dan melipatgandakan rezeki atas keprihatinan membantu sesama insan.

Ayuh teruskan membantu meringankan beban mereka dengan menyumbang ke www.billplz.com/kecemasanyaman

ATAU

BANK TRANSFER ke akaun “HUMANITARIAN CARE MALAYSIA BERHAD”

MAYBANK ISLAMIC: 5515-7500-4299
CIMB ISLAMIC: 86-0213559-2
BANK ISLAM: 1209-20100-34904

Letakkan ref ‘yaman’ dan e-mailkan ke yaman@mycare.org.my atau WhatsApp/Telegram slip sumbangan anda ke +6019-655 1948 (En. Aiman).

“Nurturing Humanity, Making a Difference”

Social Network Widget by Acurax Small Business Website Designers
Share This