Catatan Flotila ke Gaza oleh Bro Aiman

Hanya Allah tempat berserah.
Saat menulis pengalaman 5 hari belayar di atas Kapal Al-Awda teringat ayat Al-Quran dari Surah Al-Israa ayat 67.

Dan jika kalian ditimpa kesulitan di lautan, terlupakanlah segala yang disembah, kecuali hanya Dia (Allah) saja. Ketika Allah menyelamatkan mereka ke daratan, kalian berpaling (dari keimanan, keikhlasan dan amal solih). Dan manusia sungguh kufur (terhadap nikmat Allah)

Semoga aku tidak tergolong dalam golongan yang lupa pada tuhan.
Setiap orang ada ketakutan tersendiri dan aku takut pada lautan, sungai dan air terjun.
Pengalaman mati hidup semula di Sg. Sedim amat memberi impak yang besar dalam hidup aku.
Entah kenapa walaupun aku sangat takut pada lautan, tapi apabila berkait dengan perjuangan Palestin, aku tidak lagi gentar walaupun risikonya lebih tinggi. Atas sebab itu aku memberanikan diri ‘meng-offer diri’ untuk menjadi sebahagian dari ahli misi Flotila ke Gaza anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) ini. Kapal Al-Awda kecil, tidaklah besar dan merupakan kapal veteran sejak 1963 yang digunakan oleh NELAYAN perairan Norway untuk mencari rezeki di laut dalam. Kaarstein, disebut “Ka-stain”, nama asal Al-Awda. Rakan aktivis dari Norway membeli kapal tersebut dan mengubah suai beberapa nadi penting dan bahagian kapal untuk pelayaran kali ini. Mana tahu, kapal ini dapat diserahkan dan digunakan pula oleh para nelayan di Gaza nanti.
Hari pertama melihat kapal secara depan mata agak gusar, dan kami lebih risau dengan kondisi kapal bila mana kami baru sahaja memulakan pelayaran, coolant (penyejuk) untuk enjin mengalami sedikit masalah dan pintu enjin terpaksa dibuka sepanjang pelayaran. Bayangkan, dek bawah kapal dan kawasan tidur yang kecil berbau diesel dan panas seperti sauna. Sauna bau diesel beb. Ini adalah sebahagian dari ujian. Dan semasa di perairan Almeria, Sepanyol, kapal al-Awda terpaksa dihentikan sementara untuk David, jurutera enjin untuk memeriksa enjin sekali lagi. Laut ketika itu tidak kuat bergelora, mengikut skala-2 WMO Sea State Code, ia masih dikira sebagai ‘smooth’. Cuak juga, tapi krew dan kapten Herman tampak rilek, so kami buat rilek jugaklah.

Sempat merakam keadaan laut sebelum badai melanda.

BADAI MELANDA

Selesai hari pertama dan kedua memasuki hari ketiga, iaitu selepas kami makan malam, langit kelihatan gelap dan krew menjangkakan ombak akan tinggi sedikit. Sebaik sahaja kami mengemas dapur, tiba-tiba ombak mula tinggi! Kami terpaksa duduk di katil sahaja kerana risiko jatuh dan terhentak di kepala dan anggota badan yang lain amat tinggi.
Tiba-tiba, air mula masuk ke kawasan dek bawah! Krew menasihati kami agar semua duduk di dek bawah kerana sangat bahaya untuk berada di dek atas! Jujur, kami menjangkakan hanya untuk beberapa jam sahaja badai ini melanda, tetapi berlarutan sehingga hari kelima waktu malam! 2 hari non-stop!
Ketika ombak setinggi 4 meter, aku hanya mampu berdoa dan menatap gambar isteri, Syifa’ dan anak-anakku Wafaa, Yumna dan Amal di skrin telefon. Aku berdoa agar diberikan peluang untuk berbakti kepada mereka dan kedua ibu bapa aku lagi selepas ini. Pada waktu ini, kapal kami sahaja yg berada di tengah lautan bergelora. Tidak kelihatan langsung daratan dan kapal-kapal lain. Gelap. Hanya ahli misi di atas kapal Al-Awda.
Beberapa ahli misi muntah-muntah, David engineer kapal kami terhentak kakinya di enjin, aku pula terhantuk beberapa kali pada kayu katil. Hanya Allah tempat kami berserah, agar lautan menjadi RAKAN dlm pelayaran kami.
Hari kelima malam, alhamdulillah, Allah memberikan kami harapan tatkala melihat daratan kepulauan Sardinia dan kami selamat tiba di Pelabuhan Cagliari, Itali tepat jam 1232 malam waktu tempatan.

Dr. Faizal, rakan dari Malaysia berehat seketika.
Air mata syukur bercucuran selepas 5 hari pelayaran yang amat mencabar, menduga fizikal dan juga mental. Bersyukur di atas doa dan sokongan rakan-rakan semua, aku tidak muntah dan berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan serius.

Lega! Disambut dengan senyuman oleh sukarelawan tempatan.
Aku terfikir, Bagaimana agaknya pelarian Syria dan Afrika merentasi lautan untuk menyelamatkan diri daripada rejim zalim dgn bot-bot kecil mereka yang dibayar begitu mahal!
Bagaimana agaknya para nelayan Palestin yang tidak dibenarkan berlayar dengan bebas seperti kami?
Bagaimana agaknya perasaan dikekang kehidupan seharian oleh askar Zionis Israel, hanya kerana mencari rezeki di perairan untuk menyara kehidupan?
Jika ditanya, sanggup lagikah aku untuk melalui pelayaran seperti ini dengan kesusahan sebegini?
Sudah semestinya SANGGUP dan akan menyertai lagi jika diberikan ruang pada masa hadapan.
Aiman Khairul Azzam
Ahli Misi
Flotila ke Gaza Freedom Flotilla

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sharing is caring:

More Posts:

Program Baju Raya Untuk Dia 2024

Kian Berlabuh Tirai Ramadan, Lambaian Syawal Kian Dinanti, Luhur Hati Ikhlas Kemaafan, Semoga Kesalahan Diri Dimaafi.   Berbaju Baru Terasa Ceria, Cantik Dipakai Di Hari