KUALA LUMPUR, 31 Januari 2020 – Menyelar ‘Deal of the Century’ (Tawaran Terhebat Abad Ini) yang diumumkan oleh Presiden Trump sebagai Balfour 2.0 tidak memadai. Tawaran Trump langsung tidak masuk akal dan merupakan pencabulan hak rakyat Palestin yang terburuk dalam sejarah. Kali ini, mereka mahu membatalkan keseluruhan hak rakyat Palestin dan melupuskan tuntutan mereka buat selama-lamanya.

Pelan damai yang dirangka oleh Penasihat Kanan Trump, Jared Kushner ini telah cuba dijual dengan menggunakan slogan ‘Peace to Prosperity’ (Perdamaian untuk Kemakmuran) yang mengelirukan. Walhal, pelan ini langsung tidak berniat untuk membawa maksud keamanan mahupun kemakmuran kepada rakyat Palestin oleh Zionis dan kuncu-kuncunya.

Apa yang ditawarkan kepada rakyat Palestin melalui pelan ini? Secara ringkas, ia mahu melupuskan hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka, hak untuk memiliki kedaulatan dan hak untuk pulang ke tanah air mereka, yang telah dituntut sejak beberapa dekad yang lalu, ke dalam tong sampah; agar dilupakan dan dipadam terus daripada memori sejarah.

Menggunakan tawaran ekonomi, Trump berjaya mengumpan beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, UAE dan Bahrain untuk mengangkat pelan ini sebagai satu fajar baru untuk rakyat Palestin. Daripada mempertahankan hak-hak rakyat Palestin yang tidak boleh dikompromi, mereka memilih untuk mengangkat agenda Amerika Syarikat dan Israel untuk menghapuskan hak rakyat Palestin yang masih berbaki.

Antara implikasi besar pelan ini ialah pengabaian persetujuan-persetujuan sebelum ini yang berpandukan kerangka penyelesaian dua negara; menjadikan tuntutan rakyat Palestin kepada sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum 1967 tidak lagi terpakai. Dengan kata lain, rakyat Palestin dipaksa hidup di bawah apartheid Israel tanpa sebarang harga diri dan kebebasan. Keamanan hanya tinggal angan-angan dan kemakmuran hanya untuk Zionis. Wilayah-wilayah yang diduduki oleh rakyat Palestin akan kekal sebagai wilayah yang terpisah-pisah; tak ubah seperti bantustan yang tertakluk kepada kawalan penjajah Israel.

Lagi gambar-gambar di FB MyCARE

Dalam bab pelarian, rakyat Palestin yang menumpang teduh di negara-negara Arab jiran akan dinaturalisasikan sebagai sebahagian daripada proses normalisasi. Tiada perincian diberikan tentang bagaimana perkara ini boleh dicapai. Apa yang pasti, nasib pelarian Palestin akan terus terabai atas tuduhan mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

Trump hampir pasti akan menggunakan pelan ini untuk menghentikan sebarang bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin atas alasan untuk menangani keganasan. Sebarang penentangan rakyat Palestin yang sah di sisi undang-undang antarabangsa akan tetap dituduh sebagai satu bentuk keganasan. Sebarang seruan boikot terhadap Israel juga akan dianggap sebagai penyubur keganasan dan dilabel sebagai anti-semitik. Dengan kata lain, Israel akan kebal daripada sebarang tindakan yang mencabar tindakan jenayahnya ke atas rakyat Palestin.

Berdasarkan perkembangan ini, kami yang bertandatangan di bawah menyeru agar:

1 . Satu usahasama masyarakat antarabangsa diwujudkan untuk menghentikan pelan jijik yang mahu melupuskan hak rakyat Palestin ini daripada terlaksana;

2. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar atau memanggil Majlis Keselamatan untuk meluluskan resolusi mengecam pelan tidak masuk akal ini;

3. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan forum-forum antarabangsa yang lain untuk bermesyuarat dan membuat pengisytiharan menolak pelan ini;

4. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil menyatakan kebimbangan mereka terhadap nasib rakyat Palestin dan mendesak Amerika Syarikat agar menghormati hak rakyat Palestin daripada terus dicabuli oleh rejim Israel.

Kami yang bertandatangan di bawah mewakili gabungan NGO-NGO Malaysia daripada pelbagai latarbelakang. Kami dengan ini menyatakan solidariti kami bersama rakyat Palestin dan menolak pelan yang biadab ini.

1. Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
2. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. HALUAN Palestin
5. Muslim Care Malaysia
6. Malaysian Women Coalition for al-Quds and Palestine (MWCQP)
7. Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)
8. Salam Palestin
9. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
10. BDS Malaysia
11. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
12. Yayasan al-Quds Malaysia (QFM)
13. Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM)